CAMERON HIGHLANDS - Cuaca sejuk menjadikan Cameron Highlands sebagai destinasi percutian pilihan.
Meskipun terkenal dengan kesesakan jalan susulan keadaan jalannya yang sedikit sempit, Cameron Highlands tetap meriah dengan pelancong.
Tinjauan Sinar Harian pada hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands mendapati kesesakan berlaku di laluan utama namun bukan luar biasa.
Laluan menuju ke KEA Farm di Brinchang dari Tanah Rata sesak sekitar 20 minit, manakala trafik lancar di laluan ke Tanah Rata.
Kelihatan beberapa anggota polis trafik ditempatkan di kawasan KEA Farm yang menjadi tumpuan pelancong bagi mengawal lalu lintas.
Namun, difahamkan oleh penduduk setempat suasana itu perkara biasa pada hujung minggu kerana ramai pelancong mengambil peluang bercuti ke sini.
Malah, pertambahan kenderaan ini masih boleh disifatkan normal meskipun sedang berlaku kempen PRK Cameron Highlands.
Sementara itu, nampaknya bahang kempen PRK Cameron Highlands yang bermula sejak Sabtu lalu juga masih belum dapat menandingi dinginnya suhu Cameron Highands.
Masuk hari kedua kempen, jentera PH nampaknya sudah mula bekerja dengan pemasangan bendera, poster dan kain rentang yang kelihatan lebih mendominasi di kebanyakan tempat di Dun Tanah Rata dan Dun Jelai.
BN juga tidak ketinggalan namun bendera mereka tidak sebanyak PH.
Manakala, logo buku dan cangkul yang dibawa oleh dua calon bebas masih belum kelihatan di mana-mana.