Henti usaha kucar-kacirkan PKR: Daroyah

Iklan
Dr Daroyah Alwi

KAPAR - Hentikan segala usaha yang boleh menyebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kucar-kacir, tegas Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Dr Daroyah Alwi.

Menurutnya, usaha terbabit tidak akan memberi sebarang keuntungan.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau menggesa semua ahli PKR di semua peringkat terus bekerja keras memelihara mandat dan amanah rakyat.

"Ayuh ahli PKR di semua peringkat, bulatkan azam, perkukuh tekad dan rapatkan saf juga perkemas muafakat untuk terus bekerja keras memelihara mandat dan amanah rakyat ini.

Iklan

"Hentikan usaha mengkucar-kacirkan parti kerana ia bakal merugikan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menyatakan terus komited dan setia memperjuangkan idealisme perjuangan reformasi bersama PKR.

Iklan

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR Selangor berkata, sayap parti itu juga akan kukuh dan tegas di atas landasan yang mahu kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan.

"Membujur lalu melintang patah. Sayap Wanita PKR juga tetap kukuh dan tegas di atas landasan berprinsip selaras dengan kenyataan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha bahawa kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan selain tidak mencampuri kemelut yang berlaku di dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa dan Ketua PKR Cabang Kapar berkata, akan setia menyokong, memberi komitmen dan menghormati mandat rakyat melalui dasar dan agenda yang diangkat pentadbiran kerajaan Selangor.

Katanya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini juga sudah menzahirkan sokongan teguh terhadap pentadbiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.