Proses mendapatkan keadilan untuk mangsa MH17 di mahkamah Belanda

Iklan
Igor Girkin (atas kiri), Sergey Dubinsky (atas kanan), Oleg Pulatov (bawah kiri) dan Leonid Kharchenko (bawah kanan) merupakan empat suspek utama nahas pesawat MH17.

AMSTERDAM - Hampir enam tahun selepas pesawat MH17 Malaysia Airlines berkecai di ruang udara timur Ukraine, prosiding jenayah terhadap empat lelaki yang didakwa menembak jatuh pesawat itu akhirnya akan bermula di sini Isnin ini.

Menjadi tumpuan pastinya Kompleks Kehakiman Schiphol (JCS) di Badhoevedorp, tempat dijadual berlangsungnya perbicaraan di Mahkamah Daerah The Hague.

Iklan
Iklan

Ratusan ahli keluarga mangsa dan pemberita berada di bandar ini bagi mengikuti perbicaraan MH17 yang ditunggu sejak sekian lama dengan harapan ia akan menegakkan keadilan bagi kesemua 298 penumpang dan kru yang terbunuh dalam tragedi itu iaitu 43 rakyat Malaysia, 193 warganegara Belanda dan 27 warganegara Australia.

Perbicaraan di mahkamah Belanda itu diadakan ketika berlakunya wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia dengan Belanda mencatatkan 128 kes disahkan serta satu kes kematian pertama pada Jumaat, yang meningkat daripada 82 kes pada Khamis.

Iklan

Pegawai Kehakiman Media Mahkamah Daerah The Hague Yolande Wijnnobel memberitahu, media Malaysia di sini bahawa setakat ini, perbicaraan akan diteruskan seperti dirancang.

Pihak berkuasa Belanda, katanya, memantau rapat situasi wabak itu.

Iklan

"Kami mempunyai Dutch National Institute for Public Health and the Environment (Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kebangsaan Belanda) yang memantau perkembangan dan memberikan cadangan, yang kami guna pakai," kata Wijnnobel.

"Buat masa ini, semua urusan berjalan seperti biasa. Kes akan diteruskan seperti dirancang,” katanya mengenai perbicaraan kes pesawat Boeing 777 Malaysia itu yang ditembak jatuh semasa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam pada 17 Julai, 2014.

Akan dibicarakan ialah tiga warganegara Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov serta seorang warganegara Ukraine, Leonid Kharchenko.

Mereka dijangka tidak hadir di mahkamah apabila perbicaraan bermula pada Isnin, berikutan apa yang dikatakan sebagai penyiasatan jenayah terbesar dalam sejarah Belanda.

Dilaporkan MH17 terhempas selepas ditembak dengan peluru berpandu BUK semasa berada di ruang udara kawasan konflik di Ukraine. - Bernama