KOTA BHARU - Dewan Ulamak Pas Pusat berharap pelantikan jemaah menteri terdiri daripada pemimpin yang bersih dan berintegriti, tidak kira sama ada daripada golongan ulama atau profesional.
Ketuanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, Dewan Ulamak juga berharap, golongan alim ulama diberikan ruang untuk menyumbang kepada pembentukan dan pembangunan negara terutamanya dalam konteks Islam itu sendiri.
Iklan
Iklan
"Dalam Pas, Presiden dan Timbalan Presiden pun ulama, jadi masing-masing memahami proses pelantikan iaitu sebagaimana kata Presiden, kita tidak memilih, tapi kita mengharapkan Kabinet yang dilantik terdiri daripada orang bersih, profesional, ada integriti,"katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Ijtimak Pondok Malaysia di Pasir Tumboh, di sini, hari ini.
Menurutnya, peranan ulama penting dalam pembangunan negara terutamanya melibatkan konteks agama Islam kerana Islam merupakan Agama Rahmatan Lil Alamin.
Katanya, sebagai contoh penyatuan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional, Dewan Ulamak berperanan memberikan penerangan kepada golongan agama dan masyarakat pondok.
"Strategi yang digunakan Pas dalam penyatuan ini merupakan strategi tertinggi dalam sejarah politik negara sehingga dua parti yang bertelingkah sejak 60 tahun pun boleh bersama," katanya.
Artikel Berkaitan