TANAH MERAH - Cubaan seorang lelaki menyeludup bahan api menggunakan sebuah kenderaan gagal apabila perbuatannya itu dikesan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di kawasan Kampung Chedok, di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah KPDNHEP Cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, hasil pemantauan yang dijalankan semasa serbuan, sebuah kenderaan sedang membuat pengisian di pam di stesen tersebut dalam keadaan meragukan.
Iklan
Iklan
"Bagaimanapun suspek menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dan telah bertindak melarikan diri. Hasil daripada pemeriksaan, suspek telah membuat pengisian bahan bakar berupa minyak petrol RON 95 sebanyak 365 liter dan terdapat tangki yang diubahsuai pada bahagian hadapan dan belakang penumpang serta di bahagian boot belakang kenderaan tersebut.
"Suspek yang berusia 26 tahun itu dipercayai merupakan warganegara Malaysia berikutan dokumen pengenalan diri ditinggalkan di tempat kejadian,"katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemilik stesen minyak juga telah diambil keterangan dan disyaki melakukan kesalahan kerana melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.
Operasi yang dijalankan sekitar jam 11 pagi itu diketuai oleh Penolong Pegawai Penguat kuasa, Mohd Hazuha Md Yusoff bersama lima orang pegawai.
Untuk rekod, kes penyeludupan bahan api di sempadan yang melibatkan kenderaan dan stesen minyak sehingga Mac 2020 adalah sebanyak enam kes.