Usaha dua lelaki panjat siling sia-sia

Iklan
Adnan menunjukkan siling yang runtuh di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, selepas dipanjat dua lelaki yang cuba melarikan diri dalam Op Club Rat, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR - Usaha dua lelaki memanjat siling pusat hiburan di Jalan Pahang, di sini, awal pagi tadi, ketika premis terbabit diserbu polis hanya sia-sia apabila siling itu runtuh dan salah seorang daripadanya telah jatuh sebelum mereka berdua ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi Ops Club Rats, kira-kira jam 1 pagi.

Operasi membabitkan 17 pegawai dan 93 anggota itu turut dijalankan di tiga lagi premis hiburan di sekitar ibu negara iaitu, Jalan Klang Lama, Jalan Doraisamy dan Bangsar Baru bertindak memeriksa seramai 400 individu diperiksa termasuk 16 pengunjung bawah umur.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, daripada jumlah itu, seramai 60 individu termasuk 20 wanita ditahan selepas hasil ujian saringan awal dilakukan terhadap mereka positif dadah.

"Dalam operasi ini, ada premis yang kerap diserbu, namun masih berdegil melakukan kesalahan sama termasuk membenarkan pengunjung bawah umur masuk ke dalam pusat hiburan.

Iklan

"Mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Adnan berkata, siasatan mendapati kebanyakan pengunjung mengambil bahan terlarang itu menggunakan dadah berbentuk serbuk yang dicampurkan dalam minuman sebagai hiburan.

Iklan

Tegasnya, JSJN Kuala Lumpur akan terus komited melakukan operasi berterusan untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam pusat hiburan di sekitar pusat bandar ini.