Kes Aliff Syukri: Polis tunggu laporan perubatan mangsa

Iklan
Aliff Syukri

PETALING JAYA - Polis masih menunggu laporan perubatan daripada hospital sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung dakwaan kes pukul membabitkan anak angkat usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak TPR dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, polis masih menunggu laporan perubatan mangsa daripada pihak hospital.

"Sebaik semuanya selesai, kertas siasatan kes berkenaan akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin untuk tindakan lanjut,” katanya dengan mengesahkan polis telah selesai merakam percakapan semua individu terlibat.

Iklan

Arjunaidi berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pencegahan Jenayah dan Mini Townhall ‘Malaysiaku Aman dan Selamat’ di Dewan Serbaguna SS 3/14, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan usahawan kosmetik berkenaan dikatakan memukul dan mencubit anak angkatnya itu sebelum pembantu rumahnya warga Indonesia membuat laporan polis pada 29 Februari lalu.

Iklan

Polis kemudian telah menahan Aliff, kelmarin untuk siasatan lanjut sebelum membebaskannya dengan jaminan polis.

Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata, penurunan kadar jenayah yang direkodkan di Selangor bagi tempoh tahun 2018 hingga 2019 adalah hasil kerjasama antara pihak polis dengan masyarakat.

"Pada tempoh itu, penurunan kadar jenayah direkodkan di seluruh negeri ini adalah sebanyak 7.2 peratus.

"Ia sebahagian daripada usaha dan peranan masyarakat yang bersama pihak polis membanteras jenayah. Kita akan terus mempergiatkan kempen kesedaran bukan saja bagi membendung jenayah kekerasan, malah merangkumi jenayah penipuan seperti Macau Scam yang banyak dilaporkan,” katanya.