KUALA TERENGGANU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berhasrat untuk meningkatkan jumlah pengeluaran lembu sado kepada 40,000 ekor setahun, dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, sepanjang tahun lalu sahaja, 22,000 ekor lembu sado dihasilkan dan yakin, sasaran itu dapat dicapai dengan kerjasama pihak swasta dan kerajaan negeri.
Menurutnya, industri penternakan lembu sado memberikan pulangan yang lumayan, yang dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan penternak dan industri hiliran yang berkaitan.
"Pengeluaran daging lembu sado sepanjang tahun lalu sahaja adalah sebanyak 3,750 metrik tan, dengan nilai RM105 juta. Lembu sado ini unik, boleh dikatakan macam wagyu, dengan kelainan produknya ialah ‘sado’
"Dalam bidang ini, selain penternakan, banyak industri yang berkaitan contohnya dalam bidang pengeluaran daging, sebagai juru suntik, industri makanan lembu sado dan bagaimana kita boleh buat agar daging itu boleh bernilai tinggi.
"Kita nak mereka belajar cara khusus bagaimana nak buat potongan daging dan memberikan nilai tambah kepada daging tersebut. Kalau kita boleh kembangkan lagi, kita boleh pasarkan kepada hotel-hotel kerana sekarang ini kebanyakan mereka dapatkan bekalan dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis ‘Business Matching’ Hab Lembu Sado Negeri Terengganu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim dan Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad, Tan Sri Halim Mohammad.
Jelasnya, kini terdapat 125 usahawan di seluruh negara yang terlibat dengan dalam permanian beradas.
Katanya, JPV membekalkan air mani dan peralatan berkaitan dan mereka boleh bergerak sendiri memberikan perkhidmatan dan tidak perlu bergantung pada kerajaan lagi.
"Bidang-bidang hiliran sebegini akan tumbuh dan berkembang jika kita serius dalam membangunkan industri penternakan lembu sado ini.
"Bagaimanapun, pada masa yang sama kita bersedia memberikan perkhidmatan yang diperlukan, terutamanya daripada segi kawalan penyakit, saringan penyakit dan pengurusan ladang yang baik, supaya ladang-ladang tersebut mencapai tahap yang tinggi dan menghasilkan produk yang baik,” katanya.