GENEVA - Tiada bukti menunjukkan ancaman koronavirus (Covid-19) akan berakhir pada musim panas depan.
Kenyataan itu dikeluarkan Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Michael Ryan semalam bagi menjawab andaian banyak pihak yang percaya virus tersebut akan ‘hilang’ dengan sendirinya ketika musim panas seperti influenza.
Iklan
Iklan
"Kita perlu menganggap virus tersebut mempunyai keupayaan untuk terus merebak. Ia boleh menyerang di mana-mana sahaja di seluruh dunia sedangkan Ebola seringkali muncul di Afrika manakala pandemik terakhir, influenza H1N1 menyerang di Amerika Utara,” ujarnya.
Semalam, China melaporkan 28 kematian baharu virus tersebut sekali gus menjadikan jumlah kematian di seluruh dunia kini mencecah 3,070 orang.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan memaklumkan terdapat 99 kes jangkitan baharu dengan peningkatan kes baharu dilaporkan di luar pusat wabak itu di wilayah Hubei untuk tiga hari berturut-turut.
Difahamkan, jumlah jangkitan di Hubei menunjukkan trend penurunan selama beberapa minggu dan jumlah kes jangkitan baharu juga adalah paling rendah sejak langkah kuarantin dilaksanakan pada akhir Januari lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan merekodkan 24 kes jangkitan diimport yang meningkatkan kebimbangan China bahawa wabak itu akan kembali menular dibawa mereka yang pulang dari luar negara. - AFP