DUNIA sastera ialah dunia mimpi: sasterawan sentiasa bermimpi akibat desakan kesedarannya yang mahu melihat dunia menurut acuan pemikirannya. Karya sastera membongkar dan menelanjangi kebejatan lalu disusuli saranan utopianya bahawa kehidupan harus begini, pemimpin harus begitu, yang baik mesti diberi imbalan baik, yang jahat diberi hukuman setimpal.
Mimpi sasterawan tercurah dalam puisi, drama, cerpen, novel, pantun, gurindam atau apa-apa sahaja genre yang dicipta. Sudah jutaan mimpi (yang sebenarnya ialah harapan mulus sasterawan) dihidangkan untuk manusia pelbagai status pada setiap zaman.
Daripada sastera kanak-kanak, sastera rakyat, sastera ketatanegaraan, sastera epik, sastera moden, malahan pascamoden, mimpi utopia itu terus berkembang dengan kaedah yang diranumkan oleh kreativiti dan imaginasi.
Yang pasti, dunia sastera ialah pentas khutbah berseni untuk dihadam oleh khalayak dan disaring untuk mencari nilam dan permatanya. Sastera memberikan mimpi yang mulus dan muluk untuk kebaikan manusia.
Oleh hal yang demikian, dalam konteks politik semasa, walau siapa pun yang terpilih menjadi penguasa, mereka wajar menoleh dengan keprihatinan yang ikhlas terhadap sastera. Sama ada pandangan itu disampaikan secara berkias dan berseni dalam karya sastera mahupun secara polos melalui memorandum, pemimpin negara perlu bersikap mesra terhadap mereka. Jangan meminggirkan sastera seperti melihat butiran melukut yang tidak berguna.
Untuk itu, sukalah saya sekali lagi membentangkan sebahagian pandangan yang pernah dihamparkan di hadapan Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik dalam Himpunan Penulis Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 16 November 2018. Sekarang pandangan itu ditujukan kepada Menteri Pendidikan dalam barisan Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pertama, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu membuat semakan semula terhadap aspek pengajaran kesusasteraan di sekolah supaya kesusasteraan Melayu lebih bernilai tambah selaras dengan budaya yang ingin diterapkan di sekolah iaitu kebahagiaan, kasih sayang dan hormat-menghormati. Melalui karya sastera yang baik, cita-cita KPM ini diyakini dapat diterapkan secara berhikmah.
Karya
Pengenalan kepada karya persuratan yang besar dalam tamadun persuratan Melayu hendaklah dilakukan secara lebih luas. Karya besar yang dimaksudkan bukan sekadar kesusasteraan moden tetapi banyak lagi karya lain di alam Melayu seperti karya Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji dan sebagainya. Pengenalan itu boleh dibuat secara berperingkat-peringkat menurut kesesuaian tahap pelajar.
Hal ini penting agar persuratan Melayu lebih dikenali sebagai khazanah bangsa yang besar sumbangannya terhadap pandangan jagat budaya, peradaban ilmu, pembinaan sahsiah dan akal budi bangsa, sebelum peradaban itu terpencar-pencar, dipecahbelahkan oleh penjajah melalui sempadan geopolitik.
Selain itu, harus disedari bahawa kaum-kaum terbesar di Malaysia memiliki latar peradaban persuratan yang agung dan sejak ratusan tahun, tamadun Melayu bersifat terbuka terhadap sumbangan kebudayaan dan intelektual yang datang dari luar.
Dengan pandangan alam yang jelas, ilmuwan dan para pujangga kemudiannya menyaring dan memanfaatkan karya agung itu untuk memperkaya khazanah tempatan dalam pelbagai strategi penukangan kreatifnya.
Oleh itu, karya agung tamadun lain seperti China, India, Arab, Parsi malahan Eropah yang mengangkat nilai moral dan pemikiran harus diterjemahkan dengan baik dan menjadi sebahagian daripada isi pengajaran.
Di peringkat universiti, sastera perlu diberi tempat yang khas dalam sistem pembelajarannya, bukannya dipinggirkan dan ditanggapi secara salah demi memenuhi mitos sesetengah kalangan teknokrat bahawa sastera tidak memberikan manfaat kepada pembangunan negara. Dalam kedudukan sekarang, sastera dipisahkan langsung daripada bidang ikhtisas dan profesional sehingga membentuk dikotomi yang ‘menghina’ iaitu sastera berada dalam kedudukan tidak bernilai, hatta bagi tujuan pembangunan dan pembinaan manusiawi. Sepatutnya semua pelajar perlu mengambil kursus yang berkaitan dengan sastera walaupun mereka dalam bidang lain.
Sejajar dengan keperluan itu, kerajaan perlu memperkukuh institusi persuratan dan kebahasaan agar benar-benar dapat menampung keperluan dalam dunia pendidikan kebangsaan. Dua agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam soal terjemahan, kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) perlu diberi ruang yang lebih luas untuk menjadi institusi yang benar-benar berupaya menunaikan amanah mereka.
Di bawah pengawasan kerajaan, kedua-dua agensi itu wajar dimanfaatkan untuk merancang pengembangan sastera dalam sistem pendidikan dan seterusnya menghasilkan produk yang diperlukan. Sejarah sudah membuktikan bahawa sumbangan kedua-dua institusi ini amat besar dalam membina khazanah intelektual negara walaupun musim pasang surutnya tidak dapat dielakkan.
Kini, kerajaan sudah memiliki agensi yang berbeza status tetapi sealiran peranan iaitu DBP dan ITBM. Jangan dilemahkan kedua-dua agensi itu kerana kerja meranapkan sangat mudah berbanding kerja membangunkannya daripada kosong.
Desakan halus parti-parti politik tertentu supaya wajah pendidikan kebangsaan ditatarias dengan solekan baharu yang bertentangan dengan falsafah dan sistem pendidikan kebangsaan perlu dikuburkan.
* Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Beliau mengajar di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaysia