BERA - Biarpun sudah enam tahun berlalu, bapa kepada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 mengakui masih bersedih dan tertekan dengan kejadian yang berlaku pada tahun 2014 itu.
Selamat Omar, 65, berkata, dia buntu apabila terdapat rakan-rakan dan saudara mara yang bertanya mengenai tragedi tersebut.
Warga emas dari Felda Bukit Mendi itu juga berkata, sehingga kini dia tertanya-tanya perkembangan seterusnya kerana tragedi yang menimpa anaknya, Mohd Khairul Amri itu masih belum terungkai.
"Esok (hari ini) genap enam tahun tragedi yang turut menimpa anak saya.
"Sehingga kini, saya dan waris penumpang yang lain masih belum menerima sebarang kenyataan positif,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Selamat dan ahli keluarganya turut berharap kerajaan dapat merungkai misteri kehilangan Penerbangan MH370 itu yang sehingga kini membelenggu waris penumpang lain.
Menurutnya, MAS juga sudah lama tidak menghubungi atau memaklumkan sebarang perkembangan tragedi tersebut.
"Saya berharap sangat kerajaan baharu ini dapat meneliti semula dan mempertimbangkan supaya satu tindakan dapat diambil untuk menjawab segala keresahan semua waris penumpang.
"Saya tahu ia perlukan masa tetapi selepas barisan Kabinet kerajaan dibentuk, mungkin kerajaan akan mengambil tindakan,” katanya.
Tragedi pada 7 Mac 2014 itu mengakibatkan seramai 239 penumpang termasuk anak kapal MAS Penerbangan MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur hilang dan lokasi terhempas masih belum ditemui.