SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein antara dua nama yang layak diberi pertimbangan untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Penganalisis komunikasi dan politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpendapat, pemilihan Mohamed Azmin berdasarkan kecekapannya mentadbir Selangor dan menjalankan tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini.
Iklan
Iklan
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, Mohamed Azmin antara pelopor dan penggerak Dasar Kemakmuran Bersama 2030 yang dianggap penting bagi meneruskan hala tuju negara selepas berakhirnya Wawasan 2020.
"Mohamed Azmin juga dilihat sebagai pemimpin yang berpotensi melahirkan reformasi pembangunan politik dan ekonomi di negara ini berdasarkan rekod memajukan Selangor sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Syed Agil Syed Alsagoff
Iklan
Beliau berkata, pemilihan Hishamuddin pula berdasarkan rekod pentadbirannya mengetuai beberapa kementerian penting di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan teruji melaksanakan polisi yang dapat meningkatkan prestasi kerajaan BN.
"Hishamuddin juga adalah anak kepada bekas Perdana Menteri ketiga (Tun Hussein Onn) yang boleh dianggap mewarisi ketokohan bapanya sebagai pemimpin negara dan Presiden UMNO ketika itu,” katanya.