Malik Mydin pernah rasa putus asa di tengah laut

Iklan
Pada 3 Ogos 2003, Malik Mydin membuktikan bahawa beliau adalah Raja Segala Selat apabila berjaya merentasi Selat Inggeris sejauh 32.8 kilometer dengan catatan masa 17 jam 42 minit.

"APABILA kita ada asas yang baik, ke mana dan sejauh mana kita pergi pun, kita tetap akan kembali,” kata perenang maraton negara, Datuk Abdul Malik Mydin.

Kata-kata itu adalah antara ungkapan yang dikongsi beliau bersama Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini, namun tentunya menggarap 1,001 cerita tentang kehidupan anak jati Pulau Pinang itu.

Iklan
Iklan

Dengan wajah tenang, pejuang nama Malaysia berusia 45 tahun itu mengakui didikan asas ibu bapa yang diterapkan sejak kecil adalah penyumbang utama kedudukannya sekarang.

Mengimbau kejayaan beliau kira-kira 17 tahun lalu sebagai pencipta rekod perenang solo pertama di Asia Tenggara merentasi Selat Inggeris selama 17 jam 42 minit, sambil menyusun tutur kata yang begitu sederhana, bapa kepada dua cahaya mata itu kelihatan sedikit serius.

Iklan

Berenang dengan suhu air 7 darjah Celsius selama lebih dua jam setiap pagi menjadi antara latihan persediaan yang dilalui selama lebih setahun dan tentunya cukup menguji kekuatan ketahanan mental dan fizikalnya.

Bahkan, ketika melaksanakan misi itu, beliau berdepan ujian dan cabaran yang akan menentukan sama ada misi itu mampu tercapai.

Iklan

"Di Selat Inggeris saya ada terlintas untuk berhenti ketika dua kali laluan saya diubah. Ketika berenang di laluan ketiga, saya hampir putus asa.

"Bayangkan saya sudah berenang hampir 12 jam, tiba-tiba laluan ditukar kerana perubahan arus.Tentunya saya marah dan tertekan,” katanya.

Abdul Malik Mydin

Sambil menambah bahawa beliau berpegang kepada prinsip ‘kehidupan itu adalah ketahanan’, Abdul Malik berkata, tanpa kekuatan mental mustahil beliau mencapai kejayaan sasaran misi tersebut.

"Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaan ketika tiba garisan penamat tetapi pastinya lega. Sekurang-kurangnya saya tidak mengecewakan mereka yang mendoakan saya. Itu yang paling besar pada saya. Kita tidak gagal buat apa yang orang harap pada kita ketika itu,” katanya lagi.

Selepas kejayaan pada usia beliau 28 tahun itu, nama beliau terus diangkat sebagai kebanggaan negara, namun itu bukan tiket untuk bermegah atau menganggap dirinya popular.

"Saya buat bukan untuk popular. Saya seperti orang biasa mahu melakukan terbaik,” katanya.

Perenang soloAbdul Malik lantas tersenyum mengenangkan bagaimana bermulanya cerita beliau pandai berenang dan apa yang membuatkan beliau terdetik untuk melaksanakan misi sebagai perenang solo merentasi laut.

"Sebagai anak kampung yang jarak rumah dari laut hanya 200 meter, malulah saya jika tak boleh berenang. Kami anak kampung belajar berenang senang saja.

"Kami bawa sampan pergi tengah. Lawan siapa boleh sampai tepi. Agak bahaya tapi budak-budak kampung buat begitu.

"Ketika usia saya tujuh tahun ada orang di kampung saya berenang dari Batu Maung ke Butterworth untuk kutipan amal tabung sekolah Cina. Sejak itu saya kata pada diri saya yang satu hari saya akan berenang merentasi laut ke Pulau Pinang dan ia direalisasikan pada tahun 1999,” katanya.

Abdul Malik berkata, walaupun sudah bergelar perenang solo di laut negara sendiri, rupa-rupanya beliau berenang tanpa teknik yang betul dan digelar berenang seperti ‘penyu’ oleh jurulatih pertama beliau dari Afrika Selatan, Dr HS Liberberg.

"Di bawah Dr HS Liberberg, saya berlatih kicking sahaja dua jam setiap sesi. Tidak lama selepas itu saya dihantar berlatih dengan jurulatih Australia, John Van Wisse dengan keazaman saya mampu jadi lebih baik demi misi merentasi Selat Inggeris itu,” katanya.

Berkongsi kenangan ketika berada di Australia, Abdul Malik berkata, beliau tinggal bersama keluarga angkat selama kira-kira tujuh bulan dan meninggalkan cerita yang cukup bermakna.

"Keluarga angkat saya sebelum itu mempunyai perspektif buruk mengenai Islam.

"Mereka terpengaruh dengan pendedahan Barat mengenai Islam. Saya beritahu mereka jika nak tahu Islam yang sebenar kena baca terjemahan al-Quran.

"Pada saya, dakwah tidak semestinya berceramah tetapi melalui contoh diri kita, itu sebahagian daripada dakwah,” katanya.

Pada 3 Ogos 2003, Malik Mydin membuktikan bahawa beliau adalah Raja Segala Selat apabila berjaya merentasi Selat Inggeris sejauh 32.8 kilometer dengan catatan masa 17 jam 42 minit.

BasikalKejayaan beliau sebagai perenang solo tidak memadamkan nama beliau yang berasal daripada latar belakang arena sukan berbasikal.

Beliau yang merupakan Pengerusi Le Tour de Langkawi (LTdL) terus menggalas tanggungjawab membawa nama Malaysia di persada dunia dan tentunya berdepan cabaran tersendiri.

Mengakui menguruskan LTdL bukan hal mudah, Abduk Malik berkata, cabaran itu berbeza sebagai seorang perenang solo.

"Sama ada berenang atau berbasikal, paling penting kita perlu menjadikan sukan sebagai satu budaya dalam masyarakat,” katanya.