BUKIT MERTAJAM - Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diingatkan supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dalam isu paparan lambang salib di Grace Residence di Jelutong, baru-baru ini.
Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, Reezal Merican seharusnya menghormati sensitiviti orang bukan Islam dalam isu berkenaan dan menyelesaikan perkara itu dengan berhemah serta semangat toleransi.
Menurutnya, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu sebelum ini meminta tindakan pengubahan segera diambil kerajaan negeri tanpa mengira sama ada ia dilakukan secara sengaja atau sebaliknya dan menegaskan perkara itu bukan soal enggan bertoleransi tetapi satu insiden akan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat.
"Pada pandangan saya, Reezal Merican yang sendiri menyebabkan kegelisahan dalam masyarakat dengan menggunakan politik untuk mengeksploitasi suatu perkara yang tiada isu sehingga menjadikannya satu isu perkauman dan agama.
"Kenyataan beliau yang menyeru tindakan kerajaan diambil walaupun sekiranya kejadian itu dilakukan dengan tidak sengaja adalah bukan sahaja langsung tidak masuk akal malah ia terang-terangan dikeluarkan tanpa mengambil kira dan mengabaikan sensitiviti dan perasaan masyarakat bukan Islam,” katanya di sini dalam satu kenyataan semalam.
Hsiao Leung berkata, sekiranya bangunan itu dinyalakan seperti salib secara sengaja pun, beliau tidak melihat apa-apa yang salah dengannya, kerana setiap orang harus bebas untuk menyatakan atau menunjukkan agama mereka secara terbuka tanpa takut dan atau berbuat demikian dalam bersembunyi.
Menurutnya, apa yang terjadi bukan satu kes melibatkan provokasi yang sengaja malah sebelum ini mendirikan satu salib di depan sebuah kampung, masjid atau kawasan perkuburan orang Islam bukan untuk menyakiti perasaan orang Islam.
"Dari mulanya, tidak ada apa-apa yang menunjukkan bahawa insiden ini dilakukan dengan niat sengaja untuk memprovokasi sensitiviti umat Islam dan oleh itu tidak menjadi satu isu untuk meminta pihak berkuasa ambil tindakan pembetulan. Perkara ini sepatutnya berakhir di sana.
"Kita harus henti memberi perhatian atau melayan kumpulan pelampau oportunis yang sering menuntut bahawa agama Islam tersinggung atau diancam, tanpa sebarang asas,” katanya.
Hsiao Leung berkata, Reezal Merican harus diingatkan bahawa kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama dan kita harus menghormati sensitiviti bukan hanya dari satu kaum atau agama ke atas dan di atas yang lain, tetapi untuk semua kaum dan semua agama, yang harus dilayan dan dihormati dengan sama.
"Reezal Merican juga perlu dididik untuk menegakkan prinsip kedamaian dan harmoni bersama pelbagai agama, seperti yang dilakukan di satu kawasan di Georgetown yang dikenali sebagai Jalan Harmoni kerana empat tempat ibadat utama, Islam, Taoisme, Hindu dan Kristian wujud berdekatan secara harmoni selama berabad lamanya.
Sebelum ini media melaporkan kenyataan Reezal Merican yang menyatakan kerajaan negeri perlu akur saranan mufti bagi menyelesaikan isu terbabit yang disifatkan sebagai agak keterlaluan.
Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk memperbetulkan keadaan terbabit, sama ada ia disengajakan atau tidak, selain pentadbirannya menggalas tanggungjawab besar untuk menangani keresahan dalam kalangan umat Islam.
"Ini bukan soal kita enggan bertoleransi, apa yang berlaku ini terlalu mencolok mata dan boleh menimbulkan kegelisahan umum. Berdasarkan maksud itu, tindakan segera mesti diambil.
"Baik pemaju mahu pun pihak terbabit mesti dipanggil untuk siasatan lanjut. Pihak berkuasa mesti pastikan tidak ada unsur ‘sengaja mencetus keresahan awam’ dalam insiden ini.
"Tidak ada pilihan atau berdolak-dalik dan kerajaan negeri tak perlu ‘takut’ dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan atau menggugat keharmonian kaum, sama ada secara sengaja atau tidak,” katanya.