IPOH - Pemimpin UMNO melihat pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak menyertai Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tindakan berjiwa besar.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan itu disifatkan sebagai satu pengorbanan besar seorang pemimpin daripada parti besar yang membentuk Perikatan Nasional.
Menurutnya, Ahmad Zahid sangat berjiwa besar dengan mementingkan parti dan perjuangan melebihi kepentingan diri sendiri.
"Ketika orang menjangkakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid akan meraihkan laba kejayaan untuk berada dalam Kabinet, sebaliknya beliau membuat keputusan menawarkan diri untuk tidak dicalonkan dalam Kabinet demi memastikan kelangsungan Perikatan Nasional.
"Di sebalik serangan fitnah sehingga membentuk persepsi, serta diseret ke mahkamah, namun beliau tetap istiqamah memimpin," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Ahmad Zahid agar tidak dilantik ke dalam Kabinet Muhyiddin yang akan diumumkan nanti.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid tak mahu jawatan Kabinet
Sementara itu, seorang lagi Ahli MT UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, keputusan tersebut agak mengejutkan.
Seperti mana Zambry, beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai bukti Presiden UMNO seorang insan yang berjiwa besar.
"Penolakan tawaran Kabinet oleh Ahmad Zahid itu juga membuktikan bahawa pemimpin dan parti UMNO tidak gilakan jawatan atau tamak kuasa seperti dakwaan beberapa pihak.
"Beliau memainkan peranan utama membawa mandat parti dan MT UMNO dalam perbincangan ke arah pembentukan kerajaan Perikatan Nasional," katanya.