SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja tidak akan berkompromi dan bersekongkol dengan anasir jahat yang cuba merosakkan dan mensabotaj parti.
Ketua PKR Cabang Kota Raja, G Gunarajah berkata, pihaknya bertegas akan terus mempertahankan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Iklan
Iklan
"Kepimpinan PKR Kota Raja bersama akar umbi menyatakan sokongan penuh dan taat setia kepada parti dan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden parti untuk kekal komited dalam agenda membela nasib rakyat selari dengan idealisme perjuangan PKR.
"Kami proaktif untuk memperkemas dan memperkuat Cabang Kota Raja bagi memastikan khidmat bakti kepada rakyat serta akar umbi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pihaknya percaya kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan sama seperti merampas suara rakyat dan tidak menghormati asas demokrasi Raja Berperlembagaan di Malaysia.
"Ini jelas terbukti dengan kehadiran mereka di Hotel Sheraton pada malam tercetusnya krisis.
"Kami akan terus mendokong prinsip keadilan dan reformasi dengan tuntas. Cabang Kota Raja akan terus bekerjasama dengan saf kepimpinan PH Kota Raja iaitu DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara) untuk terus bekerja kuat berkhidmat dan mempertahankan mandat rakyat," katanya.