Artikel The Guardian tidak tepat, mengelirukan: Istana Negara

Iklan

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Istana Negara menegaskan artikel dalam ruangan lidah pengarang bertajuk, The Guardian view on a royal coup: A King Overturns a Historic Election yang dilaporkan akhbar Britain, The Guardian pada 3 Mac lalu adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, beliau terkejut dengan laporan akhbar berkenaan memandangkan Demokrasi Berparlimen di Malaysia berasaskan sistem Westminster.

Iklan
Iklan

"Sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, saya terkejut dengan ketidaktepatan dan nada mengelirukan artikel dalam ruangan lidah pengarang oleh syarikat media terkemuka berpangkalan di UK ini khususnya atas hakikat bahawa perkara pokok, Demokrasi Berparlimen Malaysia adalah berdasarkan sistem Westminster.

"Lidah pengarang ini telah memaparkan laporan yang mengelirukan tentang proses pelantikan Perdana Menteri baharu oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong terikat oleh Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk memilih dan melantik Perdana Menteri susulan peletakan jawatan Perdana Menteri dan Kabinetnya.

"Oleh itu, apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kepada baginda pada petang 24 Februari 2020 bahawa beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan menyerahkan surat peletakan jawatannya, Seri Paduka diwajibkan oleh Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan budi bicaranya dalam melantik Perdana Menteri,” katanya.

Iklan

Menurut beliau, Istana Negara juga melangkaui tanggungjawabnya apabila Yang di-Pertuan Agong menemubual semua ahli Parlimen dari semua parti politik sebelum Seri Paduka membuat sebarang keputusan.

"Ia hanya selepas proses perundingan yang ketat dan terbuka ini, sepenuhnya mengikut Perlembagaan Persekutuan bahawa Agong menjalankan budi bicaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Perdana Menteri baru.

"Oleh itu, proses ini tidak dianggap sebagai ‘rampasan kuasa diraja’ seperti yang dipersoalkan oleh The Guardian yang menggunakan kecondongan yang sangat partisan dalam editorialnya,” katanya.

Justeru Ahmad Fadil menasihati The Guardian dan saluran media lain supaya lebih berhati-hati dalam laporan mereka dengan memberi tumpuan pada fakta dan objektif.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di dalam dan luar negara yang telah memberikan maklum balas segera terhadap artikel itu.

Katanya, sokongan padu dan tidak berbelah-bahagi yang diberikan oleh semua rakyat Malaysia akan mendorong Istana Negara untuk bekerja lebih keras dalam menjalankan tanggungjawabnya selaras dengan ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan.