ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyasarkan tempoh lima tahun untuk menjadikan negeri 'Jelapang Padi' itu sebagai sebuah negeri maju, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Menurutnya, dalam tempoh tersebut, semua projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang telah dirangka akan disegerakan.
"Kita tidak tahu bila Kedah hendak jadi negeri yang maju dan hebat...mungkin dalam tempoh 10, 20 atau 30 tahun akan datang tetapi bila ada sasaran tempoh yang tetap iaitu lima tahun, jadi kita rasa mahu segerakan semua perkara yang telah dirangka.
"Kita akan cuba terapkan tempoh tersebut dalam kalangan pegawai kerajaan negeri kerana apabila tahu bila perlu disiapkan, mereka boleh menyegerakan dan menyelesaikan semua perkara dengan lebih awal dan cepat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Kedah di sini, hari ini.
Terdahulu, semasa berucap pada perhimpunan tersebut, Mukhriz berkata sasaran untuk menjadi sebuah negeri maju mampu dicapai sekiranya pembangunan seperti projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dapat dilaksanakan yang dilihat dapat melonjakkan Kedah ke kedudukan yang lebih baik.
"Sekarang Kedah berada di tangga kedua tercorot dalam pelbagai aspek jadi sekiranya pembangunan projek seperti KXP dapat dilaksanakan ia membolehkan negeri kita untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri maju yang lain,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan penjawat awam di negeri ini untuk berusaha bersama-sama melaksanakan semua perancangan tanpa berlengah-lengah demi mencapai cita-cita itu.
"Saya yakin kita mampu lonjakkan Kedah sekiranya setiap pegawai kerajaan negeri ingin menjayakan setiap perancangan kerajaan negeri kerana ia merupakan cita-cita kita bersama. Tidak berlengah-lengah untuk laksanakan tugas itu juga sangat penting dalam memastikan kemajuan negeri," katanya. - Bernama