UMNO Kedah mahu Ahmad Zahid anggotai Kabinet

Iklan
Jamil Khir Baharom

ALOR SETAR - UMNO Kedah berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik menganggotai barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Ahmad Zahid perlu dilibatkan dalam kepimpinan Kabinet baharu untuk berdepan fasa baharu pentadbiran negara yang dipercayai akan lebih mencabar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kepimpinan Ahmad Zahid tidak boleh disangkal malah menjadi aspirasi akar umbi untuk menyaksikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mentadbir negara bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami melihat betapa perlunya Presiden parti berada bersama arus perdana kepimpinan negara. Inilah hasrat akar umbi parti yang diwakili lebih tiga juta ahli, selain nama parti yang membawa 43 kerusi atas nama Barisan Nasional (BN) untuk menjadi tonggak Perikatan Nasional,” katanya.

Iklan

Jamil Khir berkata, penglibatan secara langsung Ahmad Zahid dalam kepimpinan Kabinet baharu adalah satu keperluan dan tidak wajar disangkal mana-mana pihak.

"Rakyat sedang menantikan apakah yang bakal ditawarkan oleh kerajaan baharu Perikatan Nasional.

Iklan

"Apa keadaan sekalipun, Presiden UMNO perlu berada dalam barisan Kabinet negara yang bakal diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, ia juga sebagai mengambil tanggung jawab atas mandat baharu kepimpinan negara melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shahserta harapan semua rakyat Malaysia.

"Sebarang kekurangan dan kelemahan kerajaan baharu kelak pasti menjadi bahan momokan, malah semua kesalahan kelak akan dituding kepada semua parti bawah Perikatan Nasional, yang turut beri kesan kepada UMNO,” katanya.

Jamil Khir berkata, pihaknya menghormati keputusan Ahmad Zahid yang menolak lantikan jawatan Kabinet, namun berpandangan tidak wajar bagi seorang Presiden UMNO yang memiliki kerusi Ahli Parlimen terbanyak dalam kerajaan Perikatan Nasional tidak dilantik sebagai ahli Kabinet baharu.

"Penyataan terbuka ini memberi gambaran Ahmad Zahid amat terbuka dan berjiwa besar dengan meletakkan negara di hadapan, bukannya pangkat menjadi tumpuan,” katanya.

Kelmarin, Ahmad Zahid menawarkan diri untuk tidak dicalonkan ke dalam barisan Kabinet baharu yang bakal dibentuk.

Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional sudah mengemukakan cadangan senarai nama daripada parti itu untuk menganggotai Kabinet kepada Muhyiddin.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi kes pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 bagi kes pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, dalam ucapan khas, Muhyiddin berjanji akan melantik anggota jemaah menteri daripada kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.