Hadi calon TPM paling sesuai, kata Dr Mahathir

Iklan
Dr Mahathir ditemui media selepas merasmikan mesyuarat cawangan Bersatu Kedawang di Langkawi hari ini.

LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon paling sesuai diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi Kabinet baharu yang akan dibentuk oleh gabungan Perikatan Nasional.

Menurutnya, kemungkinan besar Kabinet baharu yang dijangka diumum Selasa ini dipelopori majoriti ahli Parlimen UMNO termasuk individu yang baru menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Iklan
Iklan

"Calon sesuai sekali tak pastilah, barangkali Haji Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang),” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat cawangan Bersatu Kedawang hari ini.

Mengulas mengenai hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak menyertai Kabinet, Dr Mahathir menyifatkan ia satu keputusan yang tepat.

Iklan

"Baguslah, nak tengok beliau dihadapkan di mahkamah atas kesalahan jenayah yang dilakukan. Mungkin beliau cuba buktikan tuduhan terbabit tak betul, saya nak tengok beliau dengan rela hati mahu dibicarakan dan jika terbukti bersalah atau sebaliknya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Kabinet baharu itu dijangka didominasi pemimpin UMNO berikutan jumlah ahli Parlimen parti itu melebihi ahli Parlimen Bersatu.

Iklan

"Bersatu ada enam orang ahli Parlimen, UMNO ada lebih 50 termasuk yang sertai Bersatu, macam mana yang kecil ini nak kuasai yang besar, biasanya yang besarlah kuasai yang kecil," katanya.

Menurutnya, Kabinet yang dibentuk itu menggunakan pintu belakang dan bukan secara demokrasi.

"Penubuhan kerajaan pintu belakang tak baik, Muhyiddin adalah Perdana Menteri dalam Kabinet itu tetapi beliau tidak beroleh majoriti. Soal demokrasi dalam negara kita sudah jadi kleptokrasi semula,” katanya.

Katanya, demi jawatan jumlah majoriti tidak lagi dipedulikan dan sanggup melanggari perundangan.

"Beliau tak peduli bab majoriti, tiba-tiba rempuh masuk, tak ikut undang-undang,” katanya.