Ejen pelancongan berdepan kerugian berganda: MATTA

Iklan

KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta pembekal perkhidmatan pelancongan terutamanya syarikat penerbangan dan hotel mengetepikan caj pembatalan biasa bagi mengelakkan ejen pelancongan mengalami kerugian berganda.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang dalam satu kenyataan berkata, pembatalan atau menunda percutian akibat koronavirus (Covid-19) baru-baru ini menyebabkan operator pelancongan menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM500 juta yang dikutip daripada pelanggan untuk pakej pelancongan selepas bulan Februari.

Iklan
Iklan

"MATTA menerima aduan daripada ejen pelancongan berikutan amalan tidak sama oleh syarikat penerbangan yang bukan sahaja tidak adil kepada ejen pelancongan tetapi mengelirukan orang ramai.

"Syarikat terbabit menawarkan bayaran balik secara penuh atau sebahagian kepada penumpang yang menempah secara terus dengan mereka tetapi tidak kepada ejen pelancongan yang membuat tempahan berkumpulan.

Iklan

"Akibatnya, ejen pelancongan dituduh menipu. Ini masanya syarikat penerbangan perlu berhenti melakukan diskriminasi terhadap ejen pelancongan,” katanya.

Menurutnya, dalam kebanyakan kes syarikat penerbangan dan hotel tidak memberikan bayaran balik bagi pembatalan tempahan.

Iklan

"Bayaran balik jika ada, mungkin diberikan dalam bentuk kredit yang memerlukan pelanggan menempah tiket penerbangan atau bilik (hotel) dalam tempoh masa ditentukan syarikat penerbangan dan hotel berkenaan.

"Para pelanggan yang mahu mendapatkan pembayaran balik penuh adalah tidak mengikut amalan biasa industri global yang menetapkan pembayaran perlu dibuat terlebih dahulu untuk mendapatkan tempahan," katanya.

Katanya, amalan itu termasuklah sebarang pemulangan adalah tertakluk kepada polisi pembatalan pembekal, seperti syarikat penerbangan, hotel atau taman tema.

"Di Malaysia, ramai pelanggan sudah membuat pembayaran penuh untuk pakej pelancongan terutama dari Februari hingga Jun, manakala ejen pelancongan pula membayar kepada syarikat penerbangan, hotel dan pembekal lain, bagi pihak pelanggan mereka,” katanya.

Ejen pengembaraan dan operator pelancongan, katanya bersedia menjelaskan dan membantu pengguna tetapi panik yang timbul disebabkan jangkitan Covid-19 turut menyebabkan ramai pelanggan menuntut pembayaran penuh, juga mendapatkan tindakan undang-undang.

"Meskipun menjadi mangsa, kami berharap syarikat penerbangan, hotel dan orang ramai dapat melayan ejen pelancongan dengan adil.

"Masalah utama isu ini adalah pelanggan tidak didesak untuk membuat pembatalan. Sebaliknya pelanggan yang membatalkan tempahan disebabkan bimbang dijangkiti Covid-19,” katanya. - Bernama