Galak penoreh getah tanam cendawan volvariella

Iklan
Azman (dua kanan) dan Mahfuz (tiga kanan) berpeluang untuk meninjau dan memegang cendawan volvariella milik Ismail (kiri) di Kampung Musa, Pedu, dekat sini.

KUALA NERANG - Kerajaan Kedah mengalakkan penoreh getah untuk menanam cendawan volvariella sebagai alternatif bagi menampung pendapatan mereka yang kini dihimpit dengan masalah harga getah yang masih rendah.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin berkata, hanya terdapat 12 pengusaha yang terlibat dalam penanaman cendawan itu dan peluang yang ada perlu direbut oleh 45,000 penoreh getah lain di negeri ini bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Iklan
Iklan

"Cendawan ini adalah sangat mudah untuk diusahakan khususnya kepada penoreh-penoreh getah kerana boleh jadi pemangkin ataupun aktiviti sampingan atau hiliran.

"Tanaman ini boleh dijadikan sebagai pendapatan jika diusahakan bersungguh-sungguh.

Iklan

"Aktiviti penanaman cendawan ini boleh membantu mereka untuk tambah pendapatan antara RM500 hingga RM600 sebulan dan itu sudah dikira sebagai cukup baik sebab tidak memerlukan kawasan yang luas.

Azman (dua kanan) dan Mahfuz (tiga kanan) berpeluang untuk meninjau dan memegang cendawan volvariella milik Ismail (kiri) di Kampung Musa, Pedu, dekat sini.

"Kerajaan Kedah juga akan memberikan galakan dan bantuan kepada mereka yang berminat," katanya ketika ditemui media selepas melawat tapak tanaman cendawan volvariella milik Ismail Ibrahim di Kampung Musa, Pedu, dekat sini.

Iklan

Azman berkata, tanaman tersebut tidak memerlukan modal yang besar dan hanya sekitar RM1,000 sehingga RM1,500 sahaja sudah mampu mengusahakan 20 batas cendawan malah hasilnya sudah boleh dituai dalam tempoh 14 hari selepas cendawan tersebut ditanam.

Menurutnya, dengan modal tersebut, setiap bulan pengusaha mampu memperolehi pendapatan bersih sehingga RM1,500 sebulan.

"Selain itu, usaha penanaman juga mudah kerana hanya mengaplikasikan Sistem 3T iaitu tabur, tunggu dan tuai. Proses awal menggunakan tandan kelapa sawit boleh dibeli dengan harga murah dan benihnya pula boleh didapati dari Pejabat Pertanian Daerah," katanya lagi.

Tambah Azman, pasaran untuk cendawan tersebut sangat mengalakkan malah sehingga kini penawaran sedia ada juga tidak cukup untuk menampung jumlah permintaan.

"Kita sudah memberikan motivasi kepada penoreh getah khususnya ataupun kepada penduduk negeri yang berminat dengan indsutri ini.

"Pada jelajah pertama saya selaku Exco Pertanian Kedah bertemu penoreh getah di Sik pada 31 Januari ini, antara perkara yang mahu diberikan penekanan adalah berhubung penamanan cendawan ini.

"Hasrat kerajaan PH adalah untuk menjadikan Kedah sebagai antara negeri pengeluaran makanan utama di negara ini, untuk sara diri disamping jika ada lebihan kita boleh eksport ke luar negara namun sebenarnya dalam negeri kita pun masih tidak cukup lagi," katanya.

Berhubung bantuan penanaman cendawan pula, Azman menjelaskan di bawah Risda, pihaknya mempunyai beberapa peruntukan yang boleh disalurkan atau melihat mekanisme lain bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam lapangan tersebut.

"Jika tidak cukup kita akan usahakan lagi untuk mendapatkan bantuan dari kementerian-kementerian yang terlibat yang boleh membantu. Paling penting penoreh getah itu mesti ada motivasi untuk mengubah nasib mereka sendiri," katanya lagi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.