KELMARIN, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menawarkan dirinya tidak dilantik menganggotai Kabinet yang bakal dibentuk dalam masa terdekat.
Keputusan Ahmad Zahid itu boleh dianggap sebagai 'pelincir’ kepada keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memilih ahli Parlimen dalam kalangan Perikatan Nasional bagi menyertai barisan Kabinetnya.
Sepatutnya pemimpin peringkat bawah akur dengan keputusan Ahmad Zahid dan tidak membuat kenyataan yang boleh memeningkan kepala Muhyiddin.
Misalnya, UMNO Sabah, Melaka dan Perak yang mahu Ahmad Zahid tetap dilantik menganggotai Kabinet.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid senada bahawa Muhyiddin perlu berpegang kepada prinsip seseorang itu masih belum bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman.
Ya, memang benar kata-kata pemimpin UMNO itu tetapi adalah lebih baik memilih pemimpin yang tiada sebarang kes di mahkamah untuk menjadi anggota Kabinet.
Walaupun Ahmad Zahid mengatakan ia pertuduhan politik, bekas Timbalan Perdana Menteri itu seharusnya diberikan ruang untuk menghadapi 47 pertuduhan jenayah di mahkamah dengan 12 daripadanya membabitkan kes pecah amanah, 27 kes melibatkan pengubahan wang haram dan lapan kes tuduhan rasuah.
Sekiranya mempunyai jawatan dalam Kabinet, ia sudah pasti menyukarkan proses perbicaraan dan memberi gambaran yang kurang baik kepada pentadbiran negara selepas ini.
Bahkan, dalam kalangan ahli Parlimen Perikatan Nasional terdapat banyak nama yang boleh dipilih untuk bekerja bersama-sama Muhyiddin.
Ini masa terbaik kepada Perikatan Nasional menunjukkan bahawa mereka adalah lebih baik untuk mentadbir negara, menangani isu ekonomi dan pelbagai masalah rakyat yang belum selesai.
Sikap lama berebut jawatan, menyokong kem tertentu untuk jawatan penting demi kepentingan peribadi perlu dihentikan segera.
Paling penting, bantu Perdana Menteri untuk pimpin negara ke arah lebih baik!