‘Tak takutkah Dr Azu masuk Syria?’

Iklan
Dr Azuraida (dua dari kiri) bersama anak-anak Syria yang masih bergelut dengan peperangan.

"DOKTOR Azu (Azuraida) tak takut ke nak masuk ke negara Syria, bukankah di sana sedang berperang, berbunuhan?” Itu adalah antara pertanyaan yang saya terima sama ada melalui pesanan ringkas atau di media sosial.

Bukan senang untuk buat keputusan kerana saya sudah punya keluarga dan anak yang masih kecil baru berusia lapan bulan.

Iklan
Iklan

Namun, saya nekad untuk terbang ke negara Syria bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Serantau Muslim bagi menyaksikan sendiri kesusahan dan penderitaan hidup rakyat Syria pada musim sejuk baru-baru ini. Sebelum ini, kita hanya nampak di televisyen.

Misi bantuan selama 10 hari itu disertai lapan orang Mujahid dan Mujahidin terkenal di Malaysia. Ia diketuai oleh Pengerusi Serantau Muslim sendiri iaitu Ustaz Hakim Mohd Nor diikuti Ustazah Isfadiah Dasuki, Tuan Afnan Rosli dan Dr Taufiq Razif. Tidak ketinggalan Faeez Azahar, Nur Farahin Osman dan Siti Zulaikha.

Iklan

Sebagai seorang inspirator, saya yakin kembara kali ini akan membantu saya menyampaikan pesanan rakyat Syria kepada dunia. Saya yakin setiap gerak-geri saya pasti boleh dijadikan cerita dan ikutan serta inspirasi kepada anak muda dan wanita di luar sana.

Menarik mengenai misi ini adalah jumlah bantuan yang kami bawa iaitu sebanyak RM3 juta untuk diagihkan kepada pelarian di Syria. Jumlah itu adalah daripada infaq dan sokongan orang awam yang prihatin dengan situasi di Syria termasuklah organisasi besar seperti Kumpulan Karangkraf, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Gas Malaysia.

Iklan

Sebelum menyertai misi ini, saya sering terlibat dengan kerja-kerja amal di bawah beberapa buah NGO. Saya juga mempunyai NGO sendiri yang diberi nama Kembara Amal Ventures (Kave).

Sejak ditubuhkan bersama penyanyi, Deja Moss dan Nazeeha Ziarat Khan, Kave telah menjalankan lebih 50 program amal di dalam dan di luar negara.

Namun, yang membezakan misi ini dan misi sebelum ini adalah kerana kesukaran untuk menjejakkan kaki serta melihat sendiri negara Syria.

Saya dimaklumkan tidak semua NGO berjaya mendapat permit untuk masuk ke negara Syria. Alhamdulilah, seramai lima orang daripada kami (Ustaz Hakim, Dr Taufiq, Tuan Afnan, Faeez dan saya sendiri) akhirnya mendapat kebenaran untuk pergi sendiri ke zon perang di Syria.

Saya merupakan satu-satunya sukarelawan wanita yang mendapat permit untuk memasuki negara Syria untuk misi kali ini. Bukan semua orang boleh masuk dan bukan semua orang sanggup masuk ke negara yang sedang berperang.

Dr Azuraida (lima dari kiri) dan pasukannya dalam misi bantuan musim sejuk ke Syria bersama NGO Serantau Muslim baru-baru ini.

Kasih sayang

Selain itu, misi berkenaan melibatkan tiga buah negara yang menjadi tumpuan besar pelarian iaitu negara Lubnan, Turki dan Syria sendiri. Antara bantuan yang disampaikan termasuklah makanan, pakaian musim sejuk, minyak, selimut dan pemanas rumah. Tidak ketinggalan sumbangan berbentuk kasih sayang. Kami menghabiskan masa untuk bermain bola, melukis, menyanyi, makan dan mendengar cerita mereka.

Memang ramai yang bertanya"Tak takut ke nak masuk Syria?” Jawapan saya kepada soalan itu adalah mudah:"Saya yakin ALLAH ada.”

ALLAH selalu menjadikan sesuatu yang sukar itu senang dan apabila kita percaya kepada kekuasaan-Nya. Saya tidak takut kerana saya percaya ALLAH akan menjaga saya dan ahli pasukan saya sepanjang kami di sana berjihad membantu manusia yang ditindas. Saya juga mahu tunjukkan kepada dunia bahawa wanita juga mampu untuk berjihad dan tidak hanya duduk di dapur.

Sepanjang pengembaraan misi selama lebih kurang 10 hari, banyak pengalaman yang ditimba dan antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan antaranya adalah semasa di kem pelarian di Lubnan, saya didatangi oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Dia datang dan terus memeluk saya. Namanya Tasneem. Dia tak nak lepaskan saya langsung. Saya dapat tahu ibu Tasneem telah meninggal dunia dalam peperangan dan Tasneem terlalu rindukan ibunya. Tasneem menyangka bahawa sayalah ibunya.

Selain itu, pengalaman bertemu dengan anak-anak Syria di kem Ansal yang tinggal di pergunungan dan menggigil kesejukan, berjalan tanpa pakaian sejuk, tidak berstoking dan tidak bersarung tangan adalah pengalaman yang pilu buat saya. Mana tidaknya, sukarelawan pakai sehingga lima lapis baju pun masih terasa sejuk tetapi kebanyakan kanak-kanak di sana, kulit muka dan bibir mereka mengelupas serta berdarah kekeringan. Sayu hati melihatnya.

Di negara Syria, rata-rata rakyatnya tinggal di dalam khemah yang sangat kecil dan sempit. Apabila bantuan datang, mereka akan berebut-rebut dan bertolak-tolak sesama sendiri. Ada yang menangis, ada yang menjerit dan ada yang sanggup menolak serta memijak semata-mata untuk mendapatkan bantuan. Mereka tidak punya rumah, tidak punya pekerjaan, tidak punya harta dan tidak punya makanan. Inilah yang saya saksikan.

Selain pengalaman, kami juga berdepan dengan banyak cabaran semasa menjalankan misi. Daripada awal, ALLAH sudah uji apabila kami tertinggal pesawat sebaik tiba di Istanbul dari Kuala Lumpur. Kemudian, jaket Faeez yang berisi wang berjumlah AS$10,000 (RM41,416) pula hilang di Lapangan Terbang Istanbul.

Namun, dengan izin ALLAH, ia dijumpai dan diletakkan di Lost and Found di Istanbul tanpa ada satu sen pun hilang selepas tujuh hari kami datang mengambilnya. Kami juga nyaris tertinggal pesawat ke Gazientap, Turki (kawasan bersempadan dengan Syria). Penerbangan jam 5 petang tetapi kami tiba lapangan terbang pada jam 4.35 petang tetapi dengan izin ALLAH, kami dapat naik pesawat.

Banyak lagi pengalaman di negara Syria yang ingin saya kongsikan. Pesanan buat rakyat Malaysia, bersyukurlah. Bersyukurlah kerana negara kita aman.

Saya mahu kita terus hidup dalam keadaan aman dan saling memahami serta berbakti. Kita juga harus jadi insan yang prihatin terutama kepada anak-anak Syria yang terlalu dahagakan kasih sayang. All they want is love.

* Dr Azuraida Shahadan ialah seorang inspirator media sosial dan pakar motivasi kepimpinan diri