SHAH ALAM - Inisiatif Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan senarai anggota Kabinet untuk tapisan Polis Diraja Malaysia (Polis) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sangat wajar dan bertepatan dengan janji pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional yang berintegriti serta bersih.
Bagaimanapun, Tokoh aktivis keselamatan, Tan Sri Lee Lam Thye mengharapkan senarai anggota Kabinet baharu dikemukakan Muhyiddin diwajibkan bebas rekod jenayah dan tidak terpalit dengan sebarang kes mahkamah sehingga boleh mengundang keraguan rakyat.
Menurutnya, saringan daripada polis dan SPRM amat penting bagi memastikan anggota Kabinet dilantik benar-benar berintegriti, berkaliber serta paling panting berjiwa rakyat.
"Sebagai Perdana Menteri baharu, Muhyiddin haruslah menghormati pandangan, aspirasi dan harapan rakyat Malaysia yang mahukan Kabinet baharu kali benar-benar berintegriti, berkelayakan serta paling penting berjiwa rakyat.
"Langkah SPRM dan polis menyaring senarai anggota Kabinet juga amat penting untuk Perdana Menteri menentukan bahawa calon-calon menjawat jawatan menteri tidak terpalit dengan kes mahkamah bagi menghindari persepsi negatif rakyat.
"Kalau ada pemimpin terlibat kes mahkamah, biar perjalanan kes itu selesai terlebih dahulu. Setelah itu, barulah mereka boleh diputuskan untuk menjadi anggota Kabinet atau tidak," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, menurutnya, terpulang kepada kebijaksanaan dua agensi keselamatan berkenaan untuk menggunakan kaedah saringan yang sesuai.
"Saya yakin polis dan SPRM sudah mempunyai satu garis panduan yang mengikut standard piawaian antarabangsa bagi meneliti dan menapis senarai cadangan nama anggota Kabinet dikemukakan Muhyiddin.
"Kita serah kepada kebijaksanaan mereka dengan kaedah saringan diguna pakai tidak perlu dipertikaikan mana-mana pihak," katanya.
Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan berkata, Muhyiddin menyerahkan senarai anggota Kabinet untuk tapisan polis dan SPRM.
ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin hantar senarai anggota Kabinet kepada SPRM, PDRM