MEDIA sosial memberi kesan besar kepada ahli politik terutama bagi pemimpin muda yang masih baharu bertatih dalam bidang politik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, media sosial dapat mewujudkan satu bentuk komunikasi yang hampir sama seperti komunikasi 'face to face' antara ahli politik dan masyarakat.
"Orang ramai dapat melihat kegiatan dan mengetahui pandangan seseorang ahli politik itu mengikut apa yang dikongsikannya. Saya juga ada kongsikan perjalanan kerja saya sebagai ADUN tetapi disesuaikan dengan jenis platform media sosial.
"Facebook Page ialah platform paling formal bagi saya, Twitter dan Instagram lebih bersahaja, namun media sosial adalah tempat bersosial, jadi pengisian tidak terlalu kaku.
"Ada juga perihal kehidupan peribadi saya. Kalau tidak, media sosial hanya akan jadi seperti laman berita semata-mata,” kata pemimpin muda daripada parti DAP itu kepada Sinar Harian semalam.
Meskipun sibuk dengan jadual tugasan harian, Young Syefura tetap memastikan beliau mengawal sendiri laman sosialnya, malah memuat naik sendiri statusnya.
"Yang pasti, saya yang akan memuat naik setiap 'posting' sendiri ke media sosial. Semua platform media sosial dikawal oleh saya sendiri.
"Seperti Facebook Page, kakitangan saya hanya bertindak sebagai pemantau dan ditugaskan untuk melihat sebarang aduan yang masuk di 'Privage Message',” katanya mengulas mengenai laporan khas bertajuk Pemimpin Paling Berkuasa di Media Sosial yang disiarkan Sinar Ahad semalam.
Sementara itu, ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, beliau menggunakan media sosial untuk membuat penjelasan mengenai sesuatu perkara yang mungkin mengelirukan rakyat.
Menurutnya, dalam konteks tersebut, beliau percaya media sosial kini memainkan peranan penting dalam karier seseorang ahli politik.
"Media sosial kita gunakan untuk memberi penjelasan terutama jika melibatkan sesuatu isu yang perlu diperjelaskan. Ia juga digunakan untuk menyampaikan maklumat dengan lebih cepat dan meluas.
"Jika ada sesuatu isu dibangkitkan dan pihak lain menggunakan media sosial untuk menyebarkannya tetapi kita tidak guna, maka orang akan percayalah berita tersebut sebab tiada penjelasan yang pantas daripada pihak kita,” katanya.
Aktif dalam media sosial, pemimpin muda daripada Parti Amanah Negara (Amanah) itu tidak pernah terlepas daripada menerima kecaman netizen, namun beliau tidak ambil pusing dengan kecaman berkenaan.
"Kalau terima kecaman, jika saya lihat isu tersebut memerlukan saya membuat penjelasan, saya akan berikan penjelasan.
"Tapi kalau ada pihak yang niatnya hanya untuk provokasi tanpa ada ruang untuk mencari solusi, biasanya saya biarkan sahaja,” kata beliau.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib dominasi media sosial di Malaysia