IPOH - [DIKEMASK KINI] Perikatan Nasional sah membentuk kerajaan di Perak selepas memperoleh 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu sidang akhbar khas bersama Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman di Hotel Casuarina @ Meru di sini hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga parti itu mencapai persetujuan untuk membentuk sebuah gabungan baharu membabitkan 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, empat ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas.
"Insya-ALLAH, dengan gabungan ini akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mampu menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan bagi meneruskan agenda pembangunan dan membela rakyat negeri Perak yang kita kasihi. Demi Rakyat, kerana ALLAH.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan dalam barisan Exco dan ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) yang telah memberi kerjasama yang baik kepada saya sepanjang menjalankan tugas sebagai Menteri Besar kerajaan negeri PH Perak sebelum ini," katanya ketika sidang akhbar tersebut.
Sementara itu, Ahmad Faizal turut memohon maaf kepada rakyat Perak atas kelewatan mengumumkan gabungan baharu itu.
Menurutnya, perubahan dan keputusan besar mengenai penggabungan ni mengambil masa kerana memerlukan pertimbangan beberapa perkara.
Beliau berkata, sebarang perubahan perlu dilakukan secara tertib dan tidak terburu-buru memandangkan ketiga-tiga parti sudahpun melakukan perbincangan lebih awal sebelum ini.
"Saya kira dengan pengumuman pada hari ini menghilangkan keresahan rakyat. Kami mahu menyatakan penghargaan kepada penjawat awam di negeri Perak kerana berjaya meneruskan perkhidmatan kepada rakyat dan saya amat bersyukur peralihan yang berlaku dapat berjalan dengan tenang.
Pada sidang akhbar itu, Ahmad Faizal turut mengumumkan kemasukan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari ke dalam Bersatu.
Nolee sebelum ini merupakan wakil rakyat bebas manakala Abdul Yunus pula merupakan ADUN daripada PKR.
Mengenai kedudukan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal berkata, sehingga kini beliau masih mengetuai kerajaan negeri bersama gabungan yang baharu.
Katanya, ketiga-tiga kepimpinan telah pun bersepakat untuk menyembahkan nama-nama yang disenaraikan oleh parti masing-masing kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diperkenankan sebagai Menteri Besar.
Beliau berkata, setelah mendapat perkenan calon tersebut hendaklah mengangkat sumpah sebagai menteri besar dan menubuhkan barisan Exco yang baharu.
Ahmad Faizal berkata, Bersatu Perak akan menyokong sesiapa sahaja yang diperkenan oleh Sultan Nazrin sebagai Menteri Besar bagi memastikan kestabilan politik di negeri ini.
Saarani dalam pada itu menyatakan bahawa UMNO akan berpegang teguh kepada sebarang keputusan baginda berkaitan pelantikan Menteri Besar.
"Hak untuk melantik seorang Menteri Besar ini adalah prerogatif Sultan Perak, jadi kerana itu kita persembahkan nama kepada Sultan. Insya-ALLAH Sultan akan memilih sepertimana kuasa yang diberikan kepada baginda.
"Kita berpegang teguh sesiapapun yang akan menjadi menteri besar dia bukan Menteri Besar UMNO, Pas dan Bersatu, dia adalah Menteri Besar kerajaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak," katanya.
Razman yang turut senada dengan kedua-dua pemimpin itu berkata, Pas akan turut menjunjung segala titah Sultan Nazrin berhubungan keputusan baginda melantik Menteri Besar.