KUALA LIPIS - PH nafi dakwaan 'membeli' undi menjelang PRK Cameron Highlands seperti mana beberapa keping gambar yang tular di media sosial.
Sebaliknya, Penolong Ketua Pusat Operasi PH Jelai, Arvind Bharet berkata, gambar berkenaan adalah gambar pegawai PH membuat bayaran balik kos petrol kepada sukarelawannya yang datang menaiki motosikal sendiri dari kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon PRK berkenaan, pada Sabtu.
"Pembayaran balik ini akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya.
"Kesemuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hari ini seorang anggota Pemuda MIC membuat laporan polis berhubung pemberian wang oleh PH seperti yang ditularkan dalam media sosial dan meminta polis menyiasat sama ada calon PH melakukan kesalahan pilihan raya.
Terdahulu, mengulas mengenai isu sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kini antara lain sedang mengenal pasti pemilik akaun yang menyebarkan gambar berkenaan.
PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam PRU14 bagi Parlimen itu terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH dan BN serta dua calon bebas.
Calon-calon itu ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran, 60, mewakili PH, bekas pegawai kanan polis Mohd Ramli Nor, 61 (BN) dan bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61 serta petani Wong Seng Yee, 40, masing-masing sebagai calon Bebas.
Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi). - Bernama