BANTING - Sebanyak 14 buah motosikal yang diubah suai tanpa kebenaran disita dan 108 saman trafik dikeluarkan dalam Ops Bersepadu di Jalan Pantai Kelanang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bermula jam 4 petang itu telah memeriksa seramai 102 orang dan 95 buah motosikal.
"14 buah motosikal jenis Modenas Kriss, Kawasaki RR, Yamaha 125, Yamaha 135LC, Honda EX5 dan Honda Wave disita atas kesalahan ubah suai.
"Kesalahan tiada cermin sisi paling banyak direkodkan dengan 19 saman diikuti cukai jalan (17), lesen memandu (16), tiada tampal pelekat L/P (15), ubah suai ekzos (8) dan selebihnya lain-lain kesalahan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, kesalahan memandu tanpa lesen adalah antara enam kesalahan utama selain tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, langgar lampu isyarat serta memotong di garisan berkembar yang mana ia akan dirujuk terus kepada mahkamah.
"Operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Ia juga menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak mereka khususnya di bawah umur supaya tidak menunggang motosikal tanpa lesen, topi keledar, merempit dan seumpamanya," katanya.