Penduduk Pos Betau tagih liputan telekomunikasi

Iklan
Sari (kanan) dan Farez antara penduduk di Pos Betau yang terpaksa pergi ke kawasan menara berhampiran untuk mendapatkan liputan telekomunikasi.

LIPIS - Telefon bimbit jadi hiasan.

Itu nasib yang terpaksa dihadapi oleh penduduk yang memiliki gajet terbabit di perkampungan Pos Betau kerana kekurangan liputan telekomunikasi yang terhad dan hanya boleh dicapai di lokasi tertentu.

Iklan
Iklan

Terdapat 18 buah kampung dengan lebih 3,000 penduduk dengan majoritinya suku kaum Semai tinggal di pos terbabit.

Dengan hanya satu menara telekomunikasi yang dibina lebih lima tahun lalu di pos terbabit,sebahagian penduduk tidak dapat menikmati kemudahan tersebut.

Iklan

Bagi yang terdesak,mereka terpaksa pergi ke kawasan berhampiran menara itu semata-mata untuk mendapatkan liputan telekomunikasi atau melayari Internet.

Dan bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan terpaksa berjalan kaki lebih lima kilometer dari rumah masing-masing ke lokasi tersebut.

Iklan

Bagi Sari Atom,37 dari Kampung Pos Lenjang,mengakui telefon bimbit menjadi hiasan semata-semata kerana ketiadaan liputan di kawasan rumahnya.

Menurutnya, dia terpaksa pergi ke kawasan menara itu jika ingin membuat sebarang panggilan.

"Malah saya pernah membantu mereka yang memerlukan bantuan kecemasan dan hantar sendiri menaiki motosikal ke Koyan kerana masalah telekomunikasi.

"Memang menyusahkan terutamanya bila ada kes kecemasan seperti ibu bersalin atau kemalangan dalam perkampungan ini,"dakwanya lagi.

Manakala bagi Farez Lalak,33 dari Kampung Simoi,insiden terbaru yang menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli dari kampungnya melecur hingga 70 peratus selepas terkena renjatan elektrik di kawasan pencawang di Kampung Sentol diharapkan dapat membuka mata pihak-pihak terbabit.

Dalam kejadian tersebut,bapa mangsa terpaksa pergi ke kawasan pencawang terbabit untuk mendapatkan liputan telekomunikasi.

"Sudah lama kami memohon daripada kerajaan sebelum ini supaya masalah ini dapat diatasi tetapi masih tiada perubahan.

"Jadi kami berharap kerajaan baharu ini dapat mempertimbangkan rayuan penduduk untuk kemudahan yang sangat penting kepada kami semua"ujarnya lagi.

Mereka antara penduduk yang ditemui ketika kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia,Eddin Syazlee Shith di pos tersebut,hari ini.

Sementara itu,Eddin memberitahu,satu mesyuarat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Telekom Malaysia (TM) negeri pada 18 Januari ini untuk membincangkan perkara tersebut.

Beliau bersimpati dengan nasib penduduk yang berdepan kesukaran kerana masalah terbabit yang turut menjejaskan kehidupan seharian mereka.