DAP Perak desak ADUN lompat parti letak jawatan

Iklan

IPOH - DAP Perak mendesak dua wakil rakyat mereka yang melompat parti mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili.

Jawatankuasa parti itu dalam satu kenyataan berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam masing-masing bertanding dan menang mewakili DAP atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua-dua ADUN ini sudah hilang integriti dan tidak lagi mendapat kepercayaan sesiapa berikutan pengkhianatan yang dilakukan.

"Demi mempertahankan mandat rakyat, DAP Perak menuntut kedua-dua mereka meletak jawatan dengan segera dan memulangkan hak memilih ADUN kembali kepada rakyat di kawasan Tronoh dan Buntong.

Iklan

"Ini adalah satu tindakan pengkhianatan besar terhadap mandat rakyat yang telah memilih PH dan menolak kerajaan kleptokrasi yang lepas pada 9hb Mei 2018," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu juga, Jawatankuasa DAP Perak turut mengesyorkan kepada jawatankuasa disiplin parti bahawa kedua-dua ADUN tersebut dipecat segera.

Iklan

Dalam pada itu, semua ahli-ahli DAP diingatkan supaya terus teguh bersama dengan parti dalam usaha mempertahankan pilihan dan mandat rakyat.

Terdahulu, Choo Kiong dan Sivasubramaniam bersama ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengumumkan keluar parti menyokong Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di dalam Perikatan Nasional.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga ADUN Perak umum keluar PH