KUALA LUMPUR - AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) hari ini memaklumkan bahawa pengarah bukan eksekutif di satu daripada subsidiarinya disahkan positif Covid-19.
Hasil pemeriksaan awal mendapati pengarah terbabit tidak ada kontak langsung dalam tempoh 10 hari dengan mana-mana kakitangan atau melawati mana-mana premis Kumpulan AmBank.
Iklan
Iklan
"Kementerian Kesihatan sedang mengambil langkah menjejaki kontak langsung pengarah bukan eksekutif tersebut.
"Mana-mana kakitangan yang berhubung dengan pengarah bukan eksekutif tersebut dalam tempoh 14 hari terakhir telah dikuarantinkan dan akan menjalani pemeriksaan perubatan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara langkah berjaga-jaga yang diambil oleh kumpulan termasuklah mengawal kemasukan pelawat ke premisnya, pemeriksaan suhu di lokasi berisiko tinggi, penyediaan topeng muka dan sanitari tangan, meningkatkan kekerapan dan intensiti pembersihan serta melaksanakan arahan perjalanan dan nasihat kepada semua kakitangan.
"Perniagaan dan operasi kami berjalan seperti biasa. Kumpulan AmBank akan terus bertanggungjawab dan telus dalam melindungi keselamatan dan kesihatan semua pihak berkepentingan, khususnya kakitangan dan pelanggan,” katanya.
Pengarah bukan eksekutif tersebut kini sedang menerima rawatan di hospital kerajaan, menurut kumpulan itu.- Bernama