AMSTERDAM - Setelah hampir enam tahun, kes MH17 akhirnya dibawa ke muka pengadilan.
Ratusan waris mangsa penumpang MH17 dan petugas media menghadiri sesi pendengaran pertama perbicaraan tragedi pesawat Malaysia Airlines itu di Mahkamah Daerah The Hague, Kompleks Kehakiman Schiphol yang bermula hari ini.
Keempat-empat tertuduh, tiga warga Rusia, Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov dan seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko bagaimanapun tidak hadir di mahkamah.
Pada Julai 2014, pesawat Boeing 777 tersebut ditembak jatuh misil antipesawat BUK di ruang udara timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan meragut nyawa kesemua 298 penumpang.
Adakah ia kesilapan tragis? atau perbuatan disengajakan?
Jawapan itu dinantikan selama bertahun-tahun oleh waris keluarga yang berharap keadilan dapat ditegakkan.
Ketua Hakim, Hendrik Steenhuis menyifatkan kejadian tersebut sebagai ‘kehilangan tragis nyawa manusia dari seluruh dunia’ dan ‘bencana kejam’.
Selama lebih lima tahun, Kremlin menafikan sebarang penglibatan mereka dalam tragedi itu.
Situasi tragedi MH17 agak berbeza dengan pesawat Ukraine International Airlines berikutan ‘keberanian’ Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) yang mengaku ia tertembak jatuh secara tidak sengaja yang turut mengorbankan kesemua 176 penumpang pada Januari lalu walaupun terpaksa berdepan kecaman negara antarabangsa.
Presiden Rusia, Vladimir Putin juga menolak dakwaan mereka bertanggungjawab ke atas kejadian itu malah stesen TV di Moscow menyiarkan tentang teori konspirasi yang mendakwa Ukraine menembak jatuh pesawat tersebut kerana menyangka ia adalah jet milik Putin.
Walaupun Rusia terus membuat penafian, beberapa siasatan telah membuktikan kaitan tentera Moscow, Briged Antipesawat ke-53 dengan misil antipesawat BUK itu termasuk mesej dihantar Girkin tentang insiden itu yang kemudiannya dipadamkan.
Persoalan yang semakin meningkat menyebabkan pasukan penyiasat antarabangsa (JIT) dari Australia, Belgium, Malaysia, Netherlands dan Ukraine ditubuhkan untuk menyiasat tragedi itu.
Pada Mei 2018, laporan mereka mendapati tentera Rusia memainkan peranan penting menyediakan misil antipesawat BUK tersebut yang dibawa melintasi sempadan kepada puak pemisah pro-Moscow di wilayah bergolak di timur Ukraine.
Laporan JIT pada Julai 2019 kemudiannya menamakan keempat-empat suspek tersebut Girkin, Dubinskiy dan Pulatov yang mempunyai kaitan dengan perkhidmatan risikan tentera dan awam Rusia manakala Kharchenko merupakan komander kanan puak pemisah.
Sepanjang siasatan itu dijalankan, Moscow didakwa enggan bekerjasama malah perkhidmatan rahsia, GRU juga dikatakan cuba mensabotaj dan menghalang proses tersebut.
Menurut laporan akhbar di Netherlands, de Volkskrant, Rusia turut menggunakan pelbagai taktik termasuk menghantar wanita untuk menggoda penyiasat JIT bagi menggagalkan siasatan tersebut.
Perbicaraan panjang
Ketua Yayasan Bencana MH17, Pete Plug memaklumkan peguam menjangkakan perbicaraan tragedi tersebut mungkin mengambil tempoh selama empat hingga lima tahun.
Beliau juga meramalkan prosiding bersama panel tiga hakim itu akan berlarutan selama 10 hingga 15 tahun jika tertuduh dibuktikan bersalah dan mereka kemudiannya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR).
"Hari ini ialah detik paling penting. Kita akan tahu apa yang berlaku, siapa bertanggungjawab, kenapa pesawat itu ditembak jatuh dan mendapat jawapan tentang peranan Rusia dalam insiden itu.
"Kebanyakan waris keluarga mahu butiran kejadian tersebut dan mahu keadilan ditegakkan,” ujarnya.
Wakil pejabat pendakwa raya dan mahkamah bagaimanapun enggan meramalkan tempoh sebenar perbicaraan tersebut.
Difahamkan, keempat-empat suspek itu akan tetap didakwa berdasarkan undang-undang Netherlands walaupun Rusia enggan mengekstradisi mereka.
Bukti, suspek baharu
Hakim, Yolande Weinnobel yang bertanggungjawab untuk berurusan dengan pihak media berhubung kes tragedi MH17 tidak menolak bukti atau suspek baharu mungkin tampil dalam proses perbicaraan tersebut.
"Pejabat pendakwa raya telah menyerahkan banyak bahan bukti kepada kami. Persoalannya, adakah kesemua bahan tersebut sudah lengkap?
"Perkara itu hanya boleh diputuskan hakim dan ia tidak bermakna bahan baharu tidak boleh dikemukakan terhadap kes tersebut,” ujarnya menerusi wawancara bersama agensi berita Interfax di Rusia.
Menurutnya, kedua-dua pendakwa raya dan peguam bela suspek boleh menyerahkan dokumen tambahan termasuk menamakan suspek baharu yang akan dipertimbangkan.
"Pendakwa raya dan mahkamah boleh memutuskan sama ada suspek baharu itu akan didakwa di bawah kes sama atau secara berasingan,” jelasnya lagi. - Agensi
INFO:
Siapa dibicarakan?
Tahun lalu, waran tangkap antarabangsa dikeluarkan ke atas empat suspek utama; tiga warga Rusia, Igor Girkin, 49, Sergey Dubinsky, 57, dan Oleg Pulatov, 53, serta seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko, 48.
Kesemua mereka berada di dalam senarai antarabangsa individu paling dikehendaki dan dijangka tidak akan tampil di mahkamah.
Laman penyiasat Bellingcat turut mendedahkan laporan baharu yang mengenal pasti lapan individu lain disyaki terlibat dalam tragedi itu. Tiga daripada mereka dipercayai sudah meninggal dunia atau hilang.
Siapa jadi saksi?
Tahun lalu, pihak berkuasa Belanda meminta pegawai kehakiman Ukraine terus memenjarakan satu-satunya individu yang mempunyai kaitan dengan tragedi MH17.
Bekas komander kumpulan pemisah di timur Ukraine, Vladimir Borisovich Tsemakh dinamakan sebagai saksi utama insiden kejadian tersebut.
Tsemakh telah didakwa dengan kesalahan keganasan, namun dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran tahanan dengan Moscow.
Peranannya sangat penting untuk menyediakan legitimasi tambahan kepada prosiding perbicaraan MH17.
Difahamkan, salah seorang suspek warga Rusia akan diwakili dua peguam di Netherlands.
Bagaimana perbicaraan berlangsung?
Tidak banyak diketahui tentang perbicaraan bersama panel tiga hakim dan tiada penglibatan juri itu. Para hakim akan memainkan peranan aktif untuk menentukan fakta kes tersebut.
Dua lagi hakim simpanan akan turut mengikuti prosiding tersebut.
Mengapa tertuduh tidak boleh dibawa ke mahkamah?
Polis Belanda tidak cuba mengekstradisi keempat-empat suspek tersebut memandangkan Perlembagaan Rusia dan Ukraine tidak membenarkan rakyat mereka diekstradisi untuk perbicaraan jenayah.
Perbicaraan tersebut tetap akan berlangsung walaupun tanpa kehadiran keempat-empat suspek.
Pada Mac 2019, Menteri Kehakiman dan Keselamatan di Belanda, Ferdinand Grapperhaus mendakwa Moscow meminta untuk mengendalikan kes pendakwaan terhadap tiga suspek warga Rusia terbabit, namun permintaan itu ditolak.
Apa hukuman yang akan dikenakan?
Kesemua empat suspek akan didakwa di bawah undang-undang Belanda.
Kesalahan membunuh atau menembak jatuh pesawat dengan sengaja seperti ditetapkan undang-undang Netherlands boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte memaklumkan perbicaraan itu akan berlangsung secara bebas dan merupakan langkah penting untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan untuk mangsa dan waris keluarga.