KUALA LUMPUR - Buat pertama kali dalam sejarah negara, tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya, Muhyiddin hanya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin.
Keempat-empat menteri itu akan bertanggungjawab membantu Perdana Menteri berkaitan bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial selain membantu tugas-tugas hakiki Perdana Menteri termasuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet sewaktu ketiadaan Muhyiddin dalam negara.
Mengulas mengenai senario baharu itu, pakar perlembagaan Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, peranan dan tugas bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri itu akan dipikul keempat-empat menteri kanan bagi melicinkan pentadbiran negara.
Tegasnya, ketiadaan jawatan tersebut buat pertama kali dalam sejarah negara ini, bukan satu masalah kerana pelantikan jawatan nombor dua negara dalam Kabinet Persekutuan tidak terkandung atau termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Saya percaya fungsi keempat-empat menteri kanan ini adalah untuk menggantikan tugas dan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Secara strukturnya, ia adalah satu pembaharuan dalam pembentukan Jemaah Menteri,” katanya kepada.
Senada dengannya, Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Azmi Hassan berkata, Muhyiddin telah membuat pertimbangan sewajarnya apabila tidak mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ini kerana, tegasnya, pada amalan biasa, seseorang yang memegang jawatan itu akan diberikan portfolio lain di sesuatu kementerian seperti yang diamalkan sebelum ini.
"Ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak menghairankan dan tidak memeranjatkan.
"Pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah atas budi bicara Perdana Menteri. Jadi jika tiada jawatan itu, ia adalah kerana Perdana Menteri percaya tugas itu akan diisi dan dilaksanakan keempat-empat menteri kanan,” tambahnya. - Bernama