ALOR SETAR - Seorang kontraktor dari Jalan Datuk Kumbar di sini bangga dengan namanya yang agak unik dan lain daripada yang lain yang hampir menyerupai nama Superman.
Bagaimanapun, Saparman Abu, 57, berkata, nama unik yang dimilikinya itu bukanlah diinspirasikan daripada watak superhero terkenal itu.
Menurut bapa kepada lima anak berusia antara 15 hingga 32 tahun itu, dia dinamakan Saparman bersempena dengan bulan Islam iaitu bulan Safar.
"Berdasarkan cerita orang tua saya, mereka berhasrat menamakan saya dengan nama Safar sebab saya dilahirkan pada 20 haribulan Safar pada tahun 1963.
"Namun, individu yang membantu mendaftarkan nama saya ketika itu dipercayai meletakkan abjad P dan tersalah eja menjadikan nama Saparman,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Saparman berkata, hanya dia seorang yang merupakan anak keenam daripada 10 adik-beradik yang memiliki nama unik sedemikian dalam kalangan ahli keluarganya.
"Ketika saya muda, saya memang tertanya-tanya kenapa saya dinamakan Saparman, nama yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan adik-beradik yang lain sehingga saya rasa rendah diri tetapi akhirnya saya terbiasa juga.
"Apabila persoalan saya telah terjawab mengenai nama Saparman, di situlah timbulnya rasa bangga kerana mungkin saya adalah satu-satunya yang memiliki nama unik ini di Kedah,” katanya.
Tak pernah diejek
Mengimbas kisah silamnya, Saparman berkata, dia yang dilahirkan di Hutan Melintang, Perak tidak pernah berdepan pengalaman diejek rakan-rakan disebabkan namanya itu.
"Daripada saya bersekolah rendah di Hutan Melintang sehinggalah saya berpindah ke sekolah rendah lain di Sungai Kemajang, kemudian meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari Sungai Sumun, Perak memang tiada yang ‘mengusik’ nama saya.
"Begitu juga apabila saya meneruskan pelajaran di Tingkatan Empat hingga Tingka-tan Lima di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru, kemudian ke Tingkatan Enam dan akhirnya ke Universiti Pertanian Malaysia (kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia) tak ada sesiapa yang mengejek nama saya," katanya.
Menurut Saparman, hanya ada beberapa kenalannya yang mengatakan namanya seakan-akan nama orang Indonesia.
"Ada juga rakan yang tidak tahu nama penuh saya ialah Saparman, sebaliknya hanya memanggil saya dengan gelaran Man.
"Tapi rakan-rakan bukan Muslim sering memanggil saya dengan panggilan Superman. Saya memang lebih dikenali dengan Superman berbanding Saparman kerana mereka mungkin susah nak sebut nama sebenar saya,” kata bekas Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) ini.
Beliau yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Derga dan Ahli Jawatankuasa Koperasi Pemilikan Hartanah Profesio-nal Melayu Kedah Berhad (Koharta) bagaimanapun tidak pernah tersinggung dengan panggilan namanya yang pelbagai dalam kalangan rakan-rakannya itu.