SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pengangkutan adalah satu penghargaan dan kepercayaan kepada MCA, barisan kepimpinan parti serta ahli-ahli MCA di seluruh negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan cadangan senarai nama Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Iklan
Iklan
Katanya, sebagai sebuah parti berasaskan kaum Cina yang membela kepentingan semua rakyat Malaysia, parti itu akan terus menyuntik nilai-nilai inklusif, kesederhanaan dan kepelbagaian.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan yang serba mencabar.
"Amanah dan tanggungjawab ini saya akan galas sebaik mungkin demi kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Dalam pada itu, Ka Siong turut menaruh harapan dengan pembentukan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin, Malaysia akan kembali ke landasan yang betul dan negara tidak lagi terperangkap dengan konflik politik yang merugikan rakyat serta negara.
Artikel Berkaitan