KUALA LUMPUR - Seramai enam senator baharu mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini susulan pengumuman pelantikan mereka menyertai Kabinet semalam.
Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran di Bangunan Parlimen di sini.
Senator berkenaan, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang akan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan menerajui Kementerian Kewangan.
Dua yang lain ialah Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I) dan Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa.
Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar) dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).
Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar) dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).
Kesemua mereka dipilih buat kali pertama menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun susulan pelantikan menyertai Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Dalam pada itu, Vigneswaran mengucapan tahniah kepada mereka yang mengangkat sumpah hari ini dan berharap dapat memberikan perkhidmatan terbaik demi kepentingan negara.
Vigneswaran dalam satu kenyataan semalam menyatakan Majlis Angkat Sumpah mereka adalah selaras dengan Peruntukan 4(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.
"Pelantikan ini telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan perenggan (b) Fasal (1) Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika berucap.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinetnya yang merangkumi 31 menteri serta 38 timbalan menteri.