Meski kurang sihat, Dayang Nurfaizah tetap berikan yang terbaik

Iklan
Aksi Dayang Nurfaizah, Hael Husaini ketika Konsert Minggu Ini Sabtu lalu - FOTO: RTM

BIARPUN kesihatannya terganggu akibat batuk dan sakit tekak, penyanyi Dayang Nurfaizah tetap melunaskan janjinya menghiburkan peminat di Konsert Minggu Ini Bersama Hael Husaini yang berlangsung di Auditorium Angkasapuri, RTM pada Sabtu lalu.

Menurut Dayang, dia mengetepikan masalah kesihatannya buat sementara demi untuk tidak menghampakan peminat yang teruja menantikan persembahan tersebut.

Iklan
Iklan

"Tiga hari sebelum konsert berlangsung, saya mengalami batuk-batuk dan sakit tekak sehingga sedikit menjejaskan vokal.

"Kalau ikutkan doktor, dia tak bagi menyanyi dan mahu saya berehat sehingga keadaaan kembali pulih.

Iklan

"Bagaimanapun, saya tak boleh nak ikut semua kerana sebagai penyanyi kita terikat dengan komitmen yang sukar untuk dielakkan. Meskipun demam atau kurang sihat, saya kena cuba buat yang terbaik dalam kemampuan ketika itu,” jelasnya.

Sungguhpun begitu, kata Dayang, bebanan tersebut tidak begitu dirasai kerana konsert itu turut menampilkan rakan duetnya, Hael Husaini.

Iklan

"Mujurlah Konsert Minggu Ini dijayakan bersama dengan Hael. Jadi jumlah lagu yang dinyanyikan tidaklah sebanyak mengadakan persembahan solo.

"Hael banyak membantu sekali gus memudahkan saya menyempurnakan persembahan ini dengan sebaik mungkin.

"Paling best, semua penonton yang hadir memberikan sokongan penuh pada saya apabila turut menyanyi bersama-sama sepanjang konsert berlangsung,” ujarnya terharu.

Menerusi konsert tersebut, Dayang tampil dengan seleksi lagu hit yang pernah menaikkan namanya sebelum ini.

Antaranya ialah Ingin Ku Miliki, Sebentar, Hakikat Cinta, Pintaku Yang Terakhir, Seandainya Masih Ada Cinta, Lelaki Teragung, Di Pintu Syurga dan Dayang Sayang Kamu.

Tidak ketinggalan duetnya bersama Hael menerusi lagu Mulanya Di Sini, Hari Ini dan Haram.

Tambah Dayang lagi, Konsert Minggu Ini yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 itu merupakan kolaboratif pertamanya bersama Hael dalam satu persembahan penuh.

"Sebenarnya ini merupakan konsert pertama kami berdua untuk sebuah persembahan penuh. Selalunya hanya tampil sebagai penyanyi undangan sahaja untuk berduet dalam beberapa persembahan.

"Ia merupakan pengalaman dan kerjasama yang menyeronokkan buat saya. Insya-ALLAH, jika diberikan peluang lagi dan kalau ada rezeki lain pada masa akan datang, kami berbesar hati untuk bergandingan lagi.

"Lagi pun memang rasa tak puas hati kerana saya kurang sihat pada konsert pertama kami ini. Semoga ada peluang lain untuk kami bekerjasama lagi kerana saya rasa serasi dengan gandingan ini,” akui Dayang.

Dalam perkembangan lain, penyanyi membawa genre muzik R&B itu, baru sahaja muncul dengan single terkininya, X Missing U menerusi kolaboratif bersama Faizal Tahir, Tuju dan Yonniboii.