SHAH ALAM – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kagum dengan sikap terbuka Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak mewajibkan dirinya dilantik dalam mana-mana jawatan menteri.
Menurutnya, walaupun Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan senarai nama pemimpin Pas untuk dilantik sebagai menteri, namun beliau bertegas untuk tidak membuat tuntutan bagi dirinya.
"Kelmarin semasa saya dijemput oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menceritakan pada saya tentang perkembangan akhir sebelum Kabinet diumumkan.
"Antara yang saya kagum, beliau memberitahu sikap terbuka Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak mewajibkan agar dirinya mesti dilantik.
"Walaupun beliau mengemukakan senarai nama dari partinya, tapi beliau tidak bertegas membuat tuntutan untuk dirinya. Kita patut memuji sikap yang seperti itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.
Mohd Asri berkata, matlamat sebenar untuk melihat satu kerajaan yang stabil, cekap, melindungi asas-asas negara perlu diutamakan berbanding kepentingan lain.
"Para pemimpin yang mencari reda ALLAH, Jika kita semua tulus kerana ALLAH, banyak urusan umat ini akan berjaya kita laksanakan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, ada pihak yang mempersendakan seakan Abdul Hadi kecewa tidak dilantik.
"Saya percaya, persendaan itu satu dosa atas tuduhan yang tidak berasas.
"Marilah kita sama-sama mendukung kerajaan yang dibentuk ini demi kebaikan dan masa depan negara yang kita cintai ini. Ketepikan emosi dan kepentingan diri,” katanya.
Semalam, Abdul Hadi menegaskan pembentukan Kabinet baharu adalah satu permulaan yang baik untuk negara dan rakyat.
Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan kepada Pas dalam membangunkan negara.