GENG Pagi Hot (GPH) yang diwakili Shuk, Shuib dan Fizie berkesempatan menemubual isteri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Temubual tersebut adalah bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa yang bertemakan Each for Equal bagi mendapatkan pandangan daripada tokoh negara ini.
Tun Dr Siti Hasmah merupakan salah seorang wanita Melayu yang pertama, memperoleh kursus perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura.
"Banyak perubahan telah berlaku pada masa kini. Zaman dulu ada berlaku gender discrimination, di mana lelaki lebih ke hadapan berbanding wanita.
"Cuma satu yang ingin saya lihat, agar semua wanita mempunyai pendidikan dan kelayakan dalam sesuatu bidang supaya boleh membangunkan lagi wanita ke hadapan.
"Tetapi kini saya kagum dengan pencapaian mereka kerana ramai doktor wanita di zaman sekarang, syukur alhamdulillah,” ujar Tun Dr. Siti Hasmah.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai lagu terbaharu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta berjudul 7 Nasihat, Tun Dr Siti Hasmah berkata lagu tersebut penuh dengan nasihat dan tepat.
"Jika tidak dihayati bait-bait lirik lagu tersebut, kita akan terlepas tujuh nasihat atau pesanan yang diberikan.
"Wanita-wanita sekarang lebih berdikari dan tahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Itu terpulang kepada individu dan saya cukup bangga melihat wanita sekarang makin meningkat dari pelbagai segi.
"Tetapi kita perlulah berhati-hati, apabila kita mencapai tahap yang lebih tinggi kita perlu menjaga diri. Semua wanita mesti mengejar pembangunan diri sendiri untuk masyarakat, negara dan keluarga.
"Apabila mencapai di tahap yang tinggi, jangan lupa suami, keluarga dan rakyat,” akhiri Tun Dr Siti Hasmah.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai temubual tersebut, nantikan siarannya di Hot FM, pada Jumaat ini. Video penuh temu bual eksklusif itu juga boleh ditonton di platform digital YouTube Hot TV.