KUALA SELANGOR - Seekor ular sawa seberat 30 kilogram yang kekenyangan terjatuh dari siling sebuah pasar raya mini di Kampung Bukit Badong di sini semalam.
Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari.
Iklan
Iklan
Menurutnya, seorang pegawai dan tiga anggota kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sejurus tiba di lokasi, pengadu berusia 40-an memaklumkan ular itu yang berada atas bumbung terjatuh dan naik semula ke atas siling," katanya.
Beliau berkata, anggotanya berdepan kesukaran menangkap ular berikutan keadaan ruang bumbung yang sempit.
Beliau memberitahu, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit bagi menangkap ular sepanjang lima meter itu menggunakan penjerut yang diubahsuai.
"Ular sawa ini kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.