KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja pelantar minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan merogol anak saudaranya sendiri bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 38 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Nooriah Osman, sebaik sahaja pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan itu dibacakan terhadapnya.
Iklan
Iklan
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak saudaranya yang berusia 15 tahun, pada 29 Februari lalu, kira-kira jam 8.15 pagi di sebuah rumah di Dungun.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum dipenjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta dikenakan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan ahli keluarga terdekat serta melaporkan diri di Balai Polis Paka sebanyak dua kali sebulan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zein.