'Apa juga alasan Hasnul tidak boleh diterima'

Iklan
Hasnul Zulkarnain (kiri) bersama Paul Yong dan Sivasubramaniam mengisytiharkan keluar parti masing-masing dan menyokong Perikatan Nasional di Perak pada satu sidang media di Ipoh semalam.

SEREMBAN - Pemuda Amanah Negeri Sembilan mengutuk tindakan Ketua Pemuda parti itu, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang keluar parti sekali gus meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Mohd Hanis Alimin berkata, pihaknya mengutuk keras tindakan Hasnul Zulkarnain dan tidak akan sesekali menyokong apa yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu walau apa juga alasan yang diberikan olehnya.

Iklan
Iklan

"Beliau dipilih sebagai ADUN dan Exco melalui Pakatan Harapan dan Parti Amanah Negara.

"Kami tidak akan sesekali mengikut jejak langkah beliau yang membelot seperti 'Si Kitol'," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mohd Hanis berkata, Pemuda Amanah Negeri Sembilan akan tetap setia kepada parti itu serta kekal menjunjung prinsip perjuangan mereka dalam Amanah walaupun situasi politik dalam negara tahun ini dilihat sebagai siri yang jijik untuk anak muda.

Katanya, sehubungan itu Pemuda Amanah Negeri Sembilan meminta semua pemuda di peringkat akar umbi dalam parti tersebut supaya kekal tenang walaupun sedang menghadapi situasi seperti itu dan terus melawan kebobrokan.

Iklan

"Prinsip perjuangan kami tidak pernah luntur dan pengkhianatan ini pasti tidak akan diterima oleh sesiapa pun khususnya di peringkat pemuda," katanya.

Semalam, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN dari DAP iaitu Paul Yong Choo Kiong dan A Sivasubramaniam mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di Perak.

Choo Kiong berkata, tindakan dibuat bukan atas dasar kepentingan politik peribadi, namun untuk memastikan hak rakyat di kawasan masing-masing terbela.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga ADUN Perak umum keluar PH