BUKIT MERTAJAM - Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu bahawa punca kematian seorang pelajar kolej dalam insiden kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang pada Januari tahun lepas ialah akibat lemas.
Dr P Chandroth Navin dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Moey Yun Peng, 20, berkata, terdapat tiga kesan lebam di bahagian luar tubuh mangsa manakala secara dalaman terdapat empat kesan lebam di bahagian kepala tanpa keretakan tengkorak atau tiada sebarang kecederaan lain.
"Hasil pemeriksaan saya juga konsisten... iaitu paru-paru dipenuhi dengan air dan bengkak menyebabkan destruksi alveoli dan pendarahan dalam paru-paru. Air juga didapati dalam perut mayat.
"Semua ini adalah konsisten dengan 'lemas'... mengambil kira sejarah yang diperoleh daripada polis bersama penemuan autopsi dan histologi yang menjurus ke arah lemas, dengan ketiadaan trauma luaran atau dalaman lain yang teruk," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang bertindak sebagai Majistret.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati objek asing yang terdapat dalam paru-paru mangsa telah menyebabkan pendarahan.
Dr Chandroth Navin berkata demikian pada perbicaraan kes bekas pekerja salon, K Vaitheswaran, 21, yang didakwa menyebabkan kematian Yun Peng apabila kereta yang dipandunya berlanggar dengan SUV mangsa sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa terhumban ke laut pada 20 Januari tahun lepas.
Vaitheswaran didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Penolong Pegawai Perubatan Baharuddin Baharom yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang memberitahu mahkamah bahawa Vaitheswaran mengalami 'amnesia retrogred' atau hilang ingatan lepas akibat berlaku gegaran di bahagian otak.
Baharuddin yang ditugaskan mengikut ambulans berkata, beliau telah bergegas ke tempat kejadian dan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap Vaitheswaran yang duduk di tepi jalan selepas nahas itu berlaku.
"Saya telah melakukan beberapa pemeriksaan tahap kesedaran mangsa yang mana kebanyakannya adalah 'normal', namun ketika ditanya mengenai kejadian itu, mangsa tidak dapat ingat semula," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam K Paramanathan.
Perbicaraan bersambung Khamis ini. - Bernama