SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang bergejala wabak Covid-19 dinasihatkan agar tidak mengunjungi tempat-tempat yang padat dengan orang ramai dan menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter apabila berhadapan dengan individu lain.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia diingatkan untuk menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan.
Menurutnya, rakyat juga perlu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitiser).
"Sentiasa mengamalkan etika batuk yang baik, iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk mahupun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta-merta.
"Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan negara-negara yang terjejas.
"Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan dari negara yang terlibat kepada doktor yang merawat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Hari ini, Muhyiddin telah melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan (KKM).
Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri diberi taklimat mengenai status semasa wabak Covid-19 oleh KKM.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali.
Selepas lawatan tersebut, Perdana Menteri telah mempengerusikan satu mesyuarat koordinasi bagi membincangkan situasi semasa Covid-19 di Malaysia.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan Malaysia sentiasa dalam keadaan berjaga dan mempunyai kaedah-kaedah untuk menangani situasi tersebut sekiranya kejadian Covid-19 di Malaysia menjadi lebih serius.
"Kerajaan Malaysia akan terus mempertingkatkan kapasiti sedia ada di pelbagai kementerian dan agensi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan situasi kejadian Covid-19 yang lebih meruncing.
"Ini termasuk meningkatkan aspek sumber manusia, kemudahan makmal, klinik kesihatan dan hospital bagi merawat kes Covid-19.
"Kerajaan juga dalam perancangan untuk menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital khusus untuk merawat kes Covid-19.
"Terkini, KKM juga menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi menangani situasi Covid-19 ini," katanya.
Mengenai perkembangan terkini wabak tersebut, terdapat 12 kes baharu jangkitan yang dilaporkan ke CPRC, KKM pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 129 kes.
"Kes-kes positif ini adalah dalam kalangan Patient Under-Investigation (PUI) jangkitan Covid-19, kontak rapat dan Misi Bantuan Kemanusiaan. Seorang kes, iaitu kes ke-87 telah pulih dan discaj daripada hospital.
"Ini menjadikan setakat ini seramai 25 orang telah pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad," katanya.