Askar cilik Tabika Kemas

Iklan
Murid prasekolah berpakaian ala tentera ketika melakukan latihan asas ketenteraan di Tabika Kemas Pintar STREAM di Taman Tuanku Jaafar, Seremban.

SEREMBAN - Sekali pandang kelihatan seperti rombongan kanak-kanak sedang teruja melihat pameran kereta kebal tentera.

Namun, sebenarnya kanak-kanak berkenaan berada di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pintar Pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) di Taman Tuanku Jaafar di sini dan sedang mengikuti salah satu modul pembelajaran berteraskan ketenteraan.

Iklan
Iklan

Pengarah Kemas Negeri Sembilan, Mohamad Abu Bakar berkata, menerusi program Tabika Kemas Pintar STREAM di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, setiap negeri diminta memperkenalkan modul pembelajaran menerusi 13 tema yang ditetapkan termasuk bidang ketenteraan.

Menurutnya, langkah pembaharuan itu dapat menggalak minat kanak-kanak Tabika Kemas melalui pembelajaran secara kolaboratif, kreatif dan pemikiran kritis.

Iklan

"Disebabkan terdapat banyak kem tentera di Negeri Sembilan, jadi kita pilih modul ketenteraan. Nampaknya ia berjaya menarik minat kanak-kanak, malah ibu bapa juga turut teruja.

"Projek menaik taraf dan membaik pulih kawasan tabika ini mengikut modul ketenteraan bermula pada tahun lalu dan kini dalam proses akhir untuk disiapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan
Seorang guru memberi penerangan mengenai replika kereta kebal kepada murid-murid Tabika Kemas Pintar STREAM.

Mohamad berkata, menerusi modul ketenteraan itu, murid-murid tabika berpeluang melakukan latihan asas ketenteraan di kawasan tabika berkenaan.

Menurutnya, bagi merealisasikannya usaha tersebut, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara Chembong, Rembau; Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan ibu bapa.

"Misalnya, replika kereta kebal ini, kita buat menggunakan barang terpakai dan salah satunya ialah rim tayar kereta. Hasilnya sangat memuaskan dan menarik perhatian.

"Di kawasan luar bangunan pula kita sediakan ruang latihan ketenteraan seperti berjalan atas titian,menyusur di bawah tali dan kita bina kubu menggunakan guni,” katanya.

Mohamad berkata, pembaharuan tersebut secara tidak langsung dapat menjadikan imej Tabika Kemas lebih segar sekali gus menjadi pilihan pertama ibu bapa untuk menghantar anak belajar di prasekolah.

Replika kereta kebal dalam kawasan tabika yang mencuri tumpuan.


Kubu guni turut dibina untuk menarik minat murid-murid tabika.