KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut mengambil langkah proaktif menutup pejabat di cawangan itu sehingga 13 Mac bagi proses disinfeksi ruang pejabat dan kawasan persekitaran.
Menurut kenyataan KWSP hari ini, pejabat itu akan beroperasi semula pada Isnin depan (16 Mac).
Penutupan pejabat itu adalah susulan seorang ahli KWSP disahkan positif koronavirus (Covid-19) dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Ahli itu berurusan di pejabat KWSP Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut pada 27 Februari 2020 (2 hingga 2.30 petang) dan disahkan positif pada 3 Mac 2020. Namun, tiada sebarang pengesahan sama ada ahli itu telah dijangkiti Covid-19 sebelum beliau berurusan di pejabat KWSP.
"Kami mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli itu dan menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan.
Pegawai lain dari pejabat itu juga dikuarantin. KWSP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjutan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, kaunter KWSP di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, ahli digalakkan membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP.
KWSP juga telah menjalankan langkah-langkah awal pencegahan sejak Februari 2020 untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada jangkitan Covid-19.
"Semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang hari. Pegawai kaunter juga dikehendaki membersihkan tangan mereka setiap 30 minit.
"Pelawat-pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP,” menurut kenyataan itu. - Bernama