Kabinet baharu perlu ketengah konsep merakyatkan kepimpinan

Iklan
Sivamurugan (kanan) bersama dua lagi panel iaitu Muzammil (dua dari kiri) dan Fadzmel (tiga dari kiri) serta Amin (kiri) pada Wacana Sinar Siri 159 bertajuk 'Menteri Baharu: Apa Harapan Rakyat?' di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15 semalam. - Foto Mohd Izari Rosli

SHAH ALAM - Kabinet baharu perlu mengetengahkan konsep merakyatkan kepimpinan bagi melahirkan keyakinan serta kepercayaan dalam kalangan masyarakat.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr P Sivamurugan berkata, rakyat sudah bosan dengan kerajaan yang terlalu mengutamakan agenda politik secara berterusan berbanding agenda rakyat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, politik harus segera dihentikan kerana harapan rakyat sangat besar mahu melihat kerajaan baharu berfungsi sepenuhnya dalam sistem penyampaian yang akan mampu memenuhi keperluan dan kemahuan rakyat.

"Ketika ini indeks kegembiraan masyarakat terlalu rendah, malah indeks kebimbangan hampir 67 peratus menunjukkan bimbang dengan apa yang sedang berlaku kerana ia mengganggu prestasi mereka.

Iklan

"Kerajaan hari ini harus mengutamakan kesejahteraan dalam mempertahankan kehidupan berukun dan Kabinet baharu juga perlu mempamer kewibawaan mereka dari sudut pelaksanaan dan kemampuan untuk menunjukkan hasil akhir yang mampu diraikan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Siri 159 bertajuk 'Menteri Baharu: Apa Harapan Rakyat?' di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15 di sini semalam.

Wacana Sinar itu turut menampilkan Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muzammil Ismail dan Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil sebagai panelis serta moderator, Amin Idris.

Iklan

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai kabinet baharu yang menampilkan bilangan besar terdiri daripada 69 individu termasuk empat menteri kanan, Sivamurugan berkata, dalam konteks sekarang bukan jumlah itu yang harus dilihat tetapi reputasi, kredibiliti serta kualiti yang bakal dijadikan penanda aras sama ada Kabinet baharu ini lebih baik dari Kabinet sebelum ini atau tidak.

Menurutnya, apa yang harus ditumpukan bagaimana Kabinet ini boleh dilihat sebagai Kabinet yang mampu merakyat kepimpinan serta dekat dengan akar umbi.

Katanya, Kabinet kali ini harus menonjolkan peranan agar isu-isu yang akan dibawa tidak lagi isu sampingan tetapi menjadi keutamaan dalam proses menunjukkan yang ia bersifat 'delivery' serta menyalurkan apa sahaja perkara yang menjadi asas kepada masyarakat.

"Bagusnya dalam konteks kuantiti, itu lumrah sudah tentu kerajaan ini dibentuk ketika krisis ekonomi, dibentuk ketika krisis kepimpinan dan ketika kegawatan yang berlaku di seluruh ekosistem politik tanah air.

"Ini bermakna apa sahaja bilangan yang dibawa, ia menunjukkan inilah pasukan yang akan menggalas tanggungjawab untuk memastikan supaya semua krisis itu dapat diatasi bersama sebagai pasukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pasukan ini juga penting kerana ia akan memastikan sama ada kerajaan Perikatan Nasional mampu bertahan atau roboh," katanya.

Sivamurugan berkata, untuk peringkat awal, Kabinet ini sudah memberi satu gambaran yang baik di mata luar, apatah lagi ia disaring Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun lebih penting bagaimana untuk menterjemah kemampuan dan kewibawaan pasukan ini dalam bentuk pelaksanaan, merangka, melaksana dan mencapai kumpulan sasar selepas ini.

Beliau berkata, walaupun bilangan Kabinet besar, beliau percaya semua harus melihat ketokohan, kebolehan, kemampuan, pengalaman dan kewibawaan mereka yang menganggotainya.

"Jelas ia satu keserasian yang ketara dari sudut latar belakang mereka yang pernah berkhidmat sebelum ini dan kembali semula.

"Penubuhan beberapa kementerian baharu seperti Menteri Perpaduan umpamanya menunjukkan bahawa isu-isu yang dominan dalam konteks persekitaran hari ini diutamakan termasuk pengasingan di bawah Jabatan Perdana Menteri dari sudut hal ehwal Sabah dan Sarawak," katanya.

Justeru katanya, Kabinet baharu ini harus diberi peluang dan ruang agar mereka dapat memastikan apa yang dilakukan kerajaan terdahulu tidak diulang.