Covid-19: PDRM perkenal SOP baharu di lokap, lapangan terbang

Iklan
Abdul Hamid (tiga, kanan) beramah mesra dengan pesara polis Razali Md Noor pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Dewan Ketua Polis Negara, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini. -Foto Bernama

PASIR MAS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada pegawai dan anggotanya yang bertugas di lokap dan lapangan terbang dalam usaha mengurangkan risiko mereka dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mesyuarat pengurusan tertinggi Bukit Aman memutuskan antara langkah yang perlu diambil pegawai dan anggotanya terutama yang bertugas di lokap ialah membuat pemeriksaan kesihatan awal terhadap orang kena tahan (OKT).

Iklan
Iklan

"Pegawai dan anggota yang bertugas di lokap perlu bertanya kepada OKT jika mereka kurang sihat seperti mengalami demam ataupun batuk.

"Jika OKT mempunyai simptom-simptom itu, ia perlu dimaklumkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Ketua Polis Negara, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Iklan

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Seramai 264 pegawai dan anggota polis yang telah berpencen menerima pingat berkenaan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka pada zaman darurat.

Iklan

Abdul Hamid berkata, bagi pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan terbang pula, pihaknya amat menitikberatkan tahap kebersihan dan langkah pencegahan seperti memakai penutup mulut dan hidung dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman.

"SOP yang diputuskan pada mesyuarat semalam itu akan berkuat kuasa hari ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seorang anggota polis kini dikuarantin selepas disyaki keluar bersama seorang pesakit yang positif Covid-19.

"Pucuk pimpinan PDRM amat mengambil berat mengenai tahap kesihatan dan kebajikan pegawai dan anggota kami dalam usaha menangani wabak ini," katanya. - Bernama