SPRM Johor terus cemerlang tahun lalu

Iklan
Azmi (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada kakitangan MPK sambil diperhatikan Hong Pin (tengah).

KLUANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor terus cemerlang sepanjang tahun lalu apabila mencatat 147 tangkapan iaitu 47 peratus lebih tinggi berbanding 2017.

Pengarahnya, Datuk Azmi Alias berkata, pecahan tangkapan mengikut status pekerjaan melibatkan penjawat Awam sebanyak 43.5 peratus, sektor swasta sebanyak 285 peratus dan orang awam sebanyak 28 peratus.

Iklan
Iklan

"Terdapat tangkapan yang melibatkan pegawai penguatkuasa jabatan penguatkuasaan sebagai orang kena tuduh (OKT) iaitu polis sebanyak 29 tangkapan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tiga tangkapan.

"Manakala, pada 2017 melibatkan tangkapan empat jabatan penguatkuasaan iaitu polis sebanyak 14 tangkapan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tiga tangkapan, kastam dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) masing-masing sebanyak dua tangkapan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Program Simposium Integriti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, semalam.

Menurutnya, pada 2018 juga, sebanyak 509 maklumat diterima oleh pihak SPRM Johor dari pelbagai sumber dan penerimaan maklumat pada tahun tersebut menunjukkan penurunan peratusan sebanyak sembilan peratus berbanding 2017 iaitu 559 maklumat diterima.

Iklan

"Bagi kes-kes yang dituduh, sebanyak 27 kes yang telah dituduh bagi 2018 dengan menghasilkan 18 keputusan yang memihak kepada SPRM, dua kes berkeputusan tidak bersalah dan tujuh kes lagi masih dalam perbicaraan berbanding 30 kes dituduh pada tahun 2017 dengan 12 kes memihak SPRM.

"Jadi, fokus kami untuk tahun ini adalah terhadap isu-isu penyelewengan perolehan dana kerajaan, penguatkuasaan, alam sekitar dan penyeludupan selain akan memastikan SPRM Johor terus mendapat keyakinan rakyat dengan memperbanyakkan inisiatif mendekati rakyat termasuk penjawat awam," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu juga, SPRM Johor telah membuat pelbagai program keterlibatan (engagement) dan secara keseluruhan, prestasi Sektor Pencegahan SPRM Johor pada tahun lalu menunjukkan peningkatan memberangsangkan jika dibandingkan dengan 2017.

Katanya, peratusan keterlibatan secara bersemuka dengan agensi kerajaan meningkat sebanyak 60 peratus pada tahun lalu berbanding 46 peratus pada tahun sebelumnya diikuti dengan komuniti dan NGO yang berkongsi peratusan sama iaitu 12 peratus pada tahun tahun lalu berbanding 10 peratus pada 2017.

"SPRM tidak boleh bergerak bersendirian kerana perjuangan memerangi rasuah ini memerlukan kerjasama semua pihak dan sebab itu saya berharap rakyat dapat menjadi ejen kepada SPRM dalam membanteras rasuah," katanya.